Hijrah kebangkitan dan perubahan menuju kesejahteraan Islam

- Advertisement -

TINTA emas yang mengukir sejarah peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W, kaum keluarga dan para Sahabat R.A perlu teguh dihayati dan diimplementasi dalam kehidupan serta perjuangan di sepanjang zaman.

- Advertisement -

Walaupun masanya semakin jauh menjarakkan, namun iktibarnya mesti didakap kemas sebagai panduan dalam setiap langkah kebangkitan dan perubahan.

Hijraturrasul telah menyaksikan, betapa bangsa Arab khususnya kaum Quraisy yang dibejati jahiliyah dan terperuk kekosongan hidup di Makkah, tiba-tiba bangkit sebagai umat terbilang serta memayungkan rahmat hingga dua pertiga muka bumi. Asasnya ialah membangunkan tamadun manusia serta negara di untuk keberkatan dan keredaan Allah S.W.T.

Kebangkitan dan perubahan inilah titik yang mesti sentiasa dimajukan dalam diri setiap manusia lebih-lebih lagi umat Islam. Malangnya, sekitar satu abad ini umat Islam bukan sahaja lemah meyakini Islam sebagai akidah, malah sirna dari kehidupan hariannya.

Umat Islam meramaikan bumi sekadar jumlah dan keluasan tanah diduduki, namun terbelengu jajah, tertindas sengsara serta menakluki kepercayaan, kebebasan serta wawasannya.

Menjadilah umat ini umpama buih di lautan dan hidangan lazat yang dikerumuni kebatilan mewajahkannya dengan daif dan penuh kelemahan.

Walhal, Allah SWT telah merakamkan di dalam al-Quran kalam-Nya yang agung pengisytiharan ke atas Nabi Muhammad sebagai qudwah hasanah yang wajib diikuti.

Beliau adalah punca kuasa dalam memberi pengertian sebenar kehidupan bahagia menuju keselamatan di hari akhirat, seterusnya menggapai segala nikmat dijanjikan Allah kepada sekalian hamba-Nya.

Iaitulah dengan bersaksi terhadap keesaan Allah dan kerasulan Baginda serta menjadikan Islam sebagai asas kehidupan. Umat Islam wajar kembali ke landasan tersebut untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna dan diredhai baik di dunia mahupun akihirat.

“Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang beriman. (at-Taubah: 128)

Marilah jadikan Tahun Baru Islam ini untuk mendirikan tekad yang teguh ditanam dalam diri dan dipadukan bersama sebagai satu hijrah meninggalkan segala ikatan tidak berteraskan titipan Ilahi.

Seterusnya menjadikan ia langkah kebangkitan dan perubahan untuk kebaikan diri, keluarga, masyarkat dan negara agar dinaungi Allah S.W.T dan kembali subur dengan tebaran kedamaian dari sunnah Baginda S.A.W.

Islam Menyatukan Umat.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -