TH beli aset di London strategi perniagaan bukan pembaziran

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato Ahmad Marzuk Shaary menolak dakwaan segelintir pihak mendakwa pembelian bangunan di London oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai satu pembaziran.

Namun katanya, pembelian bangunan di London oleh Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan salah satu strategi perniagaan yang boleh menguntungkan bukan sahaja kepada TH sebaliknya pendeposit.

“TH ada badan pelaburan yang sentiasa mengawal dan mengintai peluang untuk tambah aset. Dan dengan pembelian aset baru di London merupakan salah satu strategi perniagaan yang boleh menguntungkan bukan sahaja kepada TH, tapi kepada pendeposit.

“Bila aset itu bertambah, maka pendeposit juga akan mendapat untung kerana agihan keuntungan itu berdasarkan liabilit dan aset. Jika aset makin tinggi maka keuntungan juga akan mengalir kepada pendeposit sekaligus tidak menyebabkan berlaku isu pembaziran dan sebagainya,” katanya.

“Malah pembelian bangunan itu juga melalui SOP yang ketat dan badan pelaburan yang sangat berwibawa. Sekiranya, TH tidak membuat perniagaan ini macam mana ia nak jana pendapatan, cuma perniagaan yang tidak dibenarkan iaitu menjual aset-aset TH di bawah harga pasaran,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Klate Gold Fest 2022 dan Pelancaran Aplikasi dan Portal E-DND Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd, di Mydin Mall, Bandar Baru Tunjong di sini, hari ini.

Turut hadiri Pengurus Kelantan Gold Trade (KGT) Sdn Bhd, Wan Najahuddin Wan Fuad.

Media sebelum ini melaporkan pembelian bangunan pejabat enam tingkat oleh Lembaga Tabung Haji di London yang dimuktamadkan pada 12 Julai lalu dijangka memberi pulangan yang baik, sekaligus melindungi kepentingan serta memberi nilai tambah kepada pendepositnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Seri Amrin Awaluddin, berkata pembelian itu yang juga pelaburan keenam TH di United Kingdom (UK) dijangka memberi pulangan yang stabil membabitkan purata pulangan atas tunai dianggarkan sebanyak lima peratus setiap tahun. – HARAKAHDAILY 30/7/2022

- Advertisement -