Kelantan rancang destinasi utama pelabur

Ahmad Yakob (dua dari kanan) pada majlis Perasmian Penutup Hari Pelaburan Kelantan di Hotel Grandriver View, Kota Bharu Kelantan pada 26 Julai 2022.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan merancang pelaksanaan projek berimpak tinggi membabitkan kemudahan, utiliti dan menaik taraf perkhidmatan bekalan air bagi melonjakkan potensi Kelantan sebagai destinasi utama pelabur.

Menteri Besar, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, antaranya pertambahan pelaburan sebanyak RM910 juta daripada ROHM-Wako Electronics.

- Advertisement -

“Ia mengambarkan keyakinan pelabur untuk terus komited mengembangkan perniagaan serta meningkat potensi sebagai hub pelaburan di Kelantan,” katanya pada Perasmian Penutup Hari Pelaburan Kelantan di Hotel Grandriver View, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah; Exco Kerajaan, Dato’ Hanifa Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat.

Sejak 2018 sehingga Julai 2022, Kelantan berjaya menarik pelaburan komited yang bernilai RM6.3 bilion melalui usaha dilakukan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Ahmad berkata, melalui Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 dari 2018-2025 Kelantan menyasarkan jumlah pelaburan sebanyak RM9.5 bilion.

“Melalui kejayaan usaha itu kita berjaya mewujudkan sebanyak 1,724 peluang pekerjaan dan 430 peluang perniagaan bagi penduduk tempatan.

“Kerajaan negeri memperkenalkan pakej insentif cukai yang boleh pelabur pilih iaitu Pakej Insentif Khas atau Pakej Insentif ECER,” katanya.

Pada majlis itu Menteri Besar turut menyempurnakan pelancaran Dasar Pelaburan Kelantan, iaitu dokumen rujukan pembangunan pelaburan di Kelantan.

Ahmad berharap dokumen tersebut dijadikan rujukan utama serta mampu menjadi pemangkin terhadap pertumbuhan dan kemajuan negeri Serambi Mekah itu. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

- Advertisement -