Perbezaan fahaman politik halangan pelabur ke Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar terbuka terhadap kemasukan pelabur asing sejak era awal pemerintahan PAS di Kelantan pada 1990.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata kerajaan negeri sentiasa merangka dasar untuk memajukan negeri bagi meningkatkan sosio ekonomi rakyat.

Bagaimanapun katanya, pembangunan di Kelantan berubah agak ketara setelah PAS turut terlibat dalam kerajaan Persekutuan sehingga pelbagai projek berimpak tinggi mulai kelihatan.

“Kelantan mula berubah, sedangkan sebelum ini banyak projek besar tersekat, namun sekarang sudah diteruskan, malah pelbagai peruntukan sudah mula dirasai ketika ini.

“Besarlah harapan kita supaya usahawan dan ahli peniagaan mengambil serta merebut peluang yang ada daripada suasana yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan di sini malam tadi.

Hadir sama Exco Kerajaan, Dato Hanifa Ahmad; Timbalan Exco Kerajaan, Saiful Adli Abu Bakar dan Pengerusi Dewan Perniagaan Cina, Yap Heng Or.

Malah Mohd Amar berkata, kegagalan kerajaan negeri menarik ramai pelaburan ke Kelantan sebelum ini kerana faktor perbezaan fahaman politik yang berlaku.

“Banyak perancangan diangkat dalam rancangan kerajaan untuk menjamin kesejahteraan serta peningkatan pendapatan penduduk tidak dapat dilaksanakan.

“Kita terbuka sejak dahulu lagi, kita memberi ruang kepada pelabur dan peniaga untuk menjalankan aktiviti di Kelantan.

“Cuma pada masa lalu suasana yang ada terutama politik waktu itu, banyak menghalang usaha-usaha dan perancangan kita untuk memajukan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

- Advertisement -