Malaysia komited pelihara hutan paya laut

- Advertisement -

HARI Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa atau International Day for Conservation of Mangrove Ecosystem disambut pada 26 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut termasuk kawasan pesisir pantai bagi memastikan kelangsungan peranan dan sumbangannya kepada alam sekitar dan masyarakat sejagat.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai kawasan hutan paya laut seluas 629,038 hektar, iaitu 3.44 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh Malaysia. Berdasarkan Mangrove Guidebook Southeast Asia, Malaysia mempunyai kepelbagaian spesies flora bakau yang tinggi iaitu sebanyak 42 spesies telah dicatat daripada 52 spesies pokok bakau yang terdapat di Asia Tenggara. Komposisi spesies yang tinggi ini dijumpai dalam kelas dirian hutan yang terkecil di Malaysia.

Hutan paya laut merupakan ekosistem tropika yang amat unik. Ia menghubungkan tanah daratan dan hidupan di atasnya dengan lautan. Hutan paya laut memainkan peranan besar sebagai zon penampan bagi melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan tanah, impak pukulan ombak yang kuat dan angin kencang serta menyediakan satu ekosistem yang sesuai bagi pembiakan hidupan marin yang menjadi punca pendapatan masyarakat tempatan. Selain itu, hutan paya laut jika diuruskan dengan baik, berpotensi tinggi untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan. 

Peranan ekosistem hutan paya laut, rumput laut dan terumbu karang bertambah penting pada ketika ini di mana ketiga-tiga ekosistem ini telah dikenal pasti di peringkat dunia sebagai penyerap karbon yang amat efisien. Berdasarkan maklumat daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), dianggarkan satu hektar kawasan hutan paya laut mampu menyimpan 3,754 tan metrik karbon, iaitu bersamaan dengan jumlah karbon yang dilepaskan oleh 2,650 buah kereta di atas jalan raya selama satu tahun.

Usaha bagi melindungi dan memelihara hutan paya laut bukanlah mudah, malah amat mencabar memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun. Pembangunan kawasan pesisir pantai, akuakultur, pertanian dan pencemaran yang tidak terkawal merupakan antara punca kehilangan kawasan hutan paya laut. Kehilangan kawasan hutan paya laut bukan sahaja akan memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat setempat terutamanya penduduk di pesisir pantai, tetapi ia juga menyebabkan kehilangan sumber penyerap karbon yang paling efisien.

Dalam hubungan ini, di peringkat Kerajaan Persekutuan, Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) yang menggariskan panduan, tindakan perancangan strategik dan halatuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber jaya pesisiran pantai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan telah dilancarkan pada 14 Jun 2022. RFZPPN-2 ini turut mengambil kira keperluan dan kepentingan untuk memelihara dan memulihara kawasan yang mempunyai biodiversiti tinggi seperti hutan paya laut dan dataran rumput laut di sepanjang pesisiran pantai negara dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut telah dilaksanakan lebih awal melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara yang dimulakan sejak tahun 2005 lagi, iaitu selepas tragedi tsunami yang melanda negara pada 26 Disember 2004. Ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

Sehingga 30 Jun 2022, sejumlah 3,240.44 hektar telah ditanam di seluruh negara dengan pokok bakau dan spesies-spesies hutan pesisir pantai terpilih melibatkan penanaman sebanyak 7,129,438 pokok. Usaha yang sedang dilaksanakan ini tidak akan mencapai kejayaan tanpa sokongan padu dan komitmen daripada pelbagai pihak khususnya kerajaan-kerajaan negeri, NGO dan masyarakat tempatan. Justeru, saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan dan kerjasama berterusan ini.

Saya berharap agar sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa pada tahun ini dapat mengingatkan kita mengenai kepentingan untuk menjaga dan melindungi hutan paya laut yang merupakan khazanah yang tidak ternilai dan betapa perlunya kita untuk bersama-sama berganding bahu dalam memelihara hutan kita demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang. Selamat Menyambut Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Tahun 2022 kepada segenap lapisan rakyat Malaysia.

“Hargailah Hutan Paya Laut.” 
“Treasure the Mangrove.”
“Hutan Kita, Kehidupan Kita.” 
“Our Forests, Our Life.”

YB DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri Tenaga dan Sumber Asli – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -