Industri rokok: Antara mudarat besar dan sumbangan kecil

- Advertisement -

GENERATIONAL End Game yang diutarakan oleh Kementerian Kesihatan bagi menamatkan penggunaan rokok dalam kalangan rakyat Malaysia bukanlah satu idea baharu. Idea untuk menamatkan terus penggunaan rokok dalam kalangan rakyat telah disusun seawal 2015 dahulu menerusi Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Hasil Tembakau 2015-2020.

Mudarat dan kesan buruk asap rokok kepada tubuh badan adalah perkara yang sedia makruf dalam setiap mereka yang berfikiran rasional. Namun, faktor ekonomi dan psikologi menjadi faktor Industri rokok dan tembakau terus mekar berkembang.

Sumbangan ekonomi oleh industri rokok tidak boleh ditolak tepi tanpa ada strategi dan pendekatan yang tersusun bagi menamatkan permintaan rokok dalam kalangan masyarakat. Inisiatif Generational End Game yang mensasarkan individu yang lahir setelah 2005 untuk tidak lagi merokok memberikan ruang berperingkat dalam menguncupkan industri ini.

Hakikatnya juga, keadaan semasa juga menunjukkan sumbangan rokok tidaklah begitu tinggi. Pada 2020, negara mendapat RM2.8 bilion dalam bentuk cukai jualan rokok. Daripada 2019-2021, industri rokok hanya menyumbang 0.2 peratus daripada jumlah KDNK negara. 0.2 peratus!

Sudah tentu kita perlu mengambil kira faktor Industri Vape yang semakin membesar bahkan dikatakan ‘berpotensi’. Vape atau rokok elektronik mula memasuki pasaran Malaysia secara agresif sejak 2010 dengan kini dianggarkan bernilai RM2.27 bilion. Terdapat hampir 3,300 entiti perniagaan terlibat dengan 15,000 pekerjaan tersedia.

RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok bukan sahaja memfokuskan rokok konvensional bahkan rokok elektronik. Ini sudah tentu penting dilaksanakan kerana tindakan separuh masak hanya akan menyebabkan peralihan pengguna rokok konvensional ke rokok elektronik. Bakal timbul pula masalah kesihatan lain.

Kerugian yang ditanggung kerajaan daripada industri yang ‘bermanfaat’ ini tidak kecil. Sektor kesihatan negara dianggarkan perlu membelanjakan RM16 bilion setahun untuk rawatan penyakit kanser paru-paru, jantung serta penyakit pulmonari kronik. Kesemua penyakit ini berpunca daripada asap rokok. Vape pula tidak menyelesaikan isu ketagihan dan asap vape dapat menganggu tugas paru-paru untuk berfungsi dengan baik khususnya buat kanak-kanak.

Fakta yang dikongsikan ini pasti sudah ramai tahu. Khususnya dalam kalangan mereka yang terlibat dengan industri. Namun satu realiti pahit yang perlu dilalui oleh segelintir pihak iaitu perlu memilih antara periuk nasi yang dilihat makin berpotensi untuk berkembang atau perlu pilih keadaan kesihatan masyarakat yang tidak dapat dinilai selagi tidak terkena batang hidung sendiri, sudah tentu tidak mudah membuat pilihan. 

Pun begitu, rezeki itu milik Allah. Masih banyak industri lain yang berpotensi dikembangkan bahkan mencambahkan nilai tambah buat masyarakat. Pengusaha industri rokok dan vape perlu memanfaatkan permainan baik kerajaan yang memberi ruang kepada mereka untuk berakomodasi dan mengubah hala tuju perniagaan mereka secara bertahap. Oleh sebab itu, RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 perlu disokong semua pihak. Mohon mencadang!

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -