BARU-baru ini, saya membangkitkan di Dewan Rakyat berkenaan isu perlunya komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat awam perlu untuk menyumbang kepada Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
Saya difahamkan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melancarkan program Ops Cegah dengan pendekatan lebih mesra bagi meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk mengamalkan budaya pencegahan kemalangan pekerjaan. Berteraskan nilai kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan, inisiatif Ops Cegah dirancang untuk dilaksanakan setiap tahun dengan mensasarkan pelaksanaan aktiviti pencegahan kemalangan pekerjaan membabitkan kemalangan industri dan kemalangan semasa perjalanan pergi balik kerja
Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memperkenalkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP 2025) sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke peringkat yang lebih cemerlang. Inisiatif ini dijalankan bagi mengurangkan kemalangan selari prinsip peraturan kendiri sebagai teras dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Namun, pada masa yang sama, saya membangkitkan persoalan di Dewan Rakyat, sehingga kini, berapa banyakkah kempen seperti ini telah dilaksanakan di media bercetak dan media sosial bagi meningkatkan kesedaran budaya pencegahan kemalangan pekerjaan di tempat bekerja. Saya juga menanyakan adakah majikan di setiap syarikat di seluruh negara mengadakan taklimat atau bengkel berkenaan pencegahan kemalangan pekerjaan di tempat bekerja setiap tahun.
Bagi memastikan objektif keselamatan dan kesihatan pekerjaan tercapai, saya menggesa agar pihak Kementerian dan PERKESO mempertingkatkan usaha mengenai peri pentingnya kesedaran mengenai kempen ini sepanjang masa. Pada waktu ini, masih wujud majikan dan pekerja memandang enteng terhadap isu ini yang mengakibatkan kecederaan dan kematian di tempat bekerja. Saya melahirkan harapan segala inisiatif dan aktiviti berkenaan keselamatan dan kesihatan dapat dihayati dan seterusnya diperbaiki dari masa ke masa.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 26/7/2022
Pertingkat kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
- Advertisement -