Optimis RUU lompat parti dikuat kuasa Sept ini

Foto daripada Facebook Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar optimis Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 mengenai larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat dikuatkuasakan mengikut jadual pada September ini.

Beliau berkata RUU itu yang buat pertama kali digubal sendiri Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Parlimen yang ditubuhkan sebelum ini amat dinanti-nantikan ramai pihak.

- Advertisement -

Jelas beliau, Ahli Parlimen yang terlibat menggubal peraturan itu masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang perundangan, malah RUU itu telah melalui banyak proses libat urus bersama Ahli Parlimen dan pihak berkaitan.

“RUU ini melalui proses perbincangan dan perdebatan antara ahli JKP Parlimen yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Kita rasa selesa dengan proses penggubalan RUU ini…ia telah melalui banyak proses tapisan. Insya-Allah awal September ini ia dapat dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Wan Junaidi mempengerusikan sesi libat urus RUU itu bersama Ahli Parlimen kerajaan di Dewan Banquet Parlimen, manakala sesi sama bersama Ahli Parlimen pembangkang akan berlangsung esok.

Mengenai sesi libat urus itu, Wan Junaidi berkata setakat ini tiada Ahli Parlimen yang menolak intipati RUU itu, malah mereka meminta agar diberikan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap Ahli Parlimen untuk berbahas pada sesi perbahasan, Khamis ini.

“Pada Rabu, saya akan mengusulkan membentangkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan kemudiannya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) membentangkan RUU itu,” katanya.

Menurutnya, usul laporan JKP dan RUU itu akan dibahaskan bersekali namun akan menjalani proses undian berasingan.

Wan Junaidi berkata usul laporan JKP akan diundi secara majoriti mudah, manakala RUU akan dibuat mengikut peruntukan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan iaitu disokong dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada bilangan Ahli Parlimen.

RUU anti lompat parti dijadual dibentang Perdana Menteri pada Rabu ini  dan akan digulung pada hari berikutnya oleh Wan Junaidi. – BERNAMA

- Advertisement -