MAHA Suci Allah S.W.T yang menciptakan alam ini penuh keteraturan. Manusia berakal kejadian yang merenung alam dengan mata hati pasti akan melihat semuanya sebagai tanda kekuasaan dan kebesaran Allah S.W.T.
Allah S.W.T berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat yang 164 yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”
Satu daripada makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T ialah kelip-kelip yang merupakan sebahagian daripada ekosistem yang teratur. Bersempena dengan ‘Hari Kelip-kelip Sedunia’ yang disambut pada hujung minggu pertama bulan Julai setiap tahun, marilah kita mengenali makhluk bernama kelip-kelip ini.
Kelip-kelip atau ‘firefly’ dalam bahasa Inggeris merupakan sejenis kumbang bertubuh lembut yang bersayap dan boleh menghasilkan cahaya yang berkelip-kelip. Ia juga turut dikenali dengan gelaran ‘lightning bug’ dan ‘glow worm’ disebabkan kebolehannya menghasilkan cahaya tersebut.
Kelip-kelip dikelaskan dalam keluarga Lampyridae, di bawah order Coleoptera. Cahaya yang dihasilkan oleh kelip-kelip adalah untuk tujuan mengawan dan juga memberi amaran kepada pemangsa bahawa mereka tidak mempunyai rasa yang enak. Terdapat lebih 1,500 spesies kelip-kelip di kawasan sederhana panas dan tropika di seluruh dunia.
Cahaya yang terhasil pada abdomen kelip-kelip adalah daripada tindak balas kimia yang berlaku pada organ-organ pemancar cahaya padanya. Proses penghasilan cahaya pada abdomen kelip-kelip disebut sebagai proses biopendarcahaya atau bioluminescence.
Proses biopendarcahaya ini melibat kehadiran enzim lusiferase sebagai mangkin yang merangsang protein lusiferin untuk bertindak balas dengan oksigen bagi menghasilkan cahaya. Tahukah anda bahawa cahaya yang dihasilkan kelip-kelip adalah lebih efisien kerana tenaga yang digunakan hanya menghasilkan kira-kira lima peratus haba sahaja dan tenaga selebihnya ditukarkan kepada cahaya. Para saintis telah cuba menghasilkan lampu diod pemancar (LED) yang lebih cekap tenaga dan lebih cerah hasil inspirasi daripada kelip-kelip.
Kelip-kelip yang biasa ditemui di Malaysia ialah daripada genus Pteroptyx. Kelip-kelip Pteroptyx ialah haiwan separa akuatik yang boleh ditemui di kawasan paya bakau. Kehadiran kelip-kelip di kawasan paya bakau adalah amat penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem di sana.
Pokok berembang iaitu pokok bakau spesies Sonneratia caseolaris adalah merupakan tumbuhan utama menjadi tempat kelip-kelip mengawan. Larva kelip-kelip yang dilepaskan ke dalam air menjadikan siput kecil spesies Cyclotropis carinata sebagai makanannya.
Secara tidak langsung, kelip-kelip membantu mengawal populasi siput yang bersifat perosak. Sifat kelip-kelip yang sensitif dengan perubahan yang berlaku di kawasan sekitarnya menjadikannya petunjuk biologi kepada kesihatan dan keseimbangan hutan paya bakau.
MOHD IZZUDDIN HASANUDIN
Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 26/7/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064392321114/posts/pfbid0oqohMQJrUKEY7wWDCM8HdN37pKgsDdbzsVbrGUJpynBGgQSrD1wUV5LvQxDx22JHl/