Kampung Mukandot belum ada bekalan elektrik

- Advertisement -

Oleh ASIKIN AHMAD

KALABAKAN:
Kampung Mukandot Luasong sudah wujud hampir 30 tahun lalu, namun belum terdapat bekalan elektrik dan air seperti di kampung-kampung lain di Sabah.

Ketua Komuniti Kampung Mukandot, Junari Sapari berkata, kampung tersebut sebelum ini dikenali sebagai Kampung Luasong Darat terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar Tawau.

- Advertisement -

“Terdapat kira-kira 260 penduduk daripada 73 keluarga yang tinggal di kampung ini sekarang,” katanya pada program Kita Bersaudara peringkat Negeri Sabah yang diadakan di sini kelmarin.

Program tersebut dirasmikan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Senator Nuridah Mohd Salleh.

Turut hadir Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia Dr Najihahtussalehah Ahmad, Pengerusi Lajlnah Perpaduan Nasional Salmah Abdul Latiff, Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah Norsah Bongsu, Yang Dipertua PAS Kalabakan Ahmad Dullah dan Yang Dipertua PAS Tawau Mohamad Husain.

Program tersebut dianjur Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal (LPTPOA), Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan usahasama Dewan Muslimat PAS Sabah bertujuan mendekati masyarakat Orang Asal terutamanya golongan mualaf.

Sempena program itu sebanyak 70 keluarga penduduk menerima sumbangan keperluan asas dapur.

Ahmad pula berkata, kampung tersebut perlu mendapat perhatian pemimpin untuk menyediakan kemudahan asas termasuk telaga wakaf bagi kemudahan penduduk tempatan.

Nuridah turut melahirkan perasaan sebak melihat keadaan masyarakat yang belum terbela tinggal di pedalaman Sabah.

“Saya merasa bersalah selaku ahli Dewan Negara jika tidak dapat membantu masyarakat kerana mereka berhak mendapat keperluan asas yang lebih baik.

“Insya-Allah saya akan berusaha membawa suara penduduk tempatan di sini kepada kerajaan untuk membolehkan mereka menikmati kemudahan seperti penduduk di tempat lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2022

- Advertisement -