Oleh FAIZAH ARBAIN
SANDAKAN: Pindaan Rang Undang-Undang Enakmen Mahkamah Syariah (2022) sekiranya dilulus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dapat memartabatkan mahkamah syariah di negeri itu.
Adun lantikan Dr Aliakbar Gulasan berkata, RUU itu apabila dilulus, membolehkan Hakim Syarie mempunyai kuasa lebih baik berbanding sekarang.
Katanya, dengan pemerkasaan itu diharap dapat menyelesaikan banyak kes tertunggak semenjak pendemik Covid-19 melanda terutamanya kes penceraian dan tuntutan nafkah.
“Mahkamah harus ambil langkah drastik bagi menyelesaikan kes-kes tertangguh termasuk pendengaran kes pada waktu malam dan penyelesaian kes di luar mahkamah ‘mobile court’ bagi kes-kes di pedalaman.
“Lagi pun Mahkamah Syariah di Sabah setakat ini hanya terdapat sebuah di Kota Kinabalu,” katanya berucap menyokong RUU tersebut pada sidang Dun Sabah semalam.
Menurutnya juga Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) harus melantik ramai kaunselor yang terlibat memberi kaunseling untuk keluarga dan rumahtangga bermasalah.
Selain itu kata beliau perkahwinan penduduk tempatan dengan mereka yang tiada dokumen pengenalan diri perlu dicari jalan penyelesaian.
“Ini berkait rapat dengan perancangan masa depan Sabah bagi menyusun masyarakat di negeri ini,” kata beliau yang juga Setiausaha PAS Sabah. – HARAKAHDAILY 22/7/2022