Umar buat silap, sanggup bayar ganti rugi

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 45)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

IMAM At-Tabari mengeluarkan daripada Iyas bin Salamah, daripada bapanya, katanya:

Umar melintasi pasar. Bersamanya perisai. Umar menghentakkannya kepadaku sekali, lalu mengenai tepi kainku. Dia berkata: ‘Berganjak dari jalan!’

Pada tahun berikutnya, Umar bertemuku. Beliau bertanya: ‘Wahai Salamah! Kamu mahu mengerjakan haji?’
Aku jawab: ‘Ya’

- Advertisement -

Beliau memegang tanganku, membawaku ke rumahnya, lalu memberikan aku 600 dirham, sambil berkata: ‘Gunakan ini untuk urusan hajimu. Ketahuilah, ini adalah gantirugi hentakan perisai yang aku buat kepadamu (tahun lepas).’

Aku menjawab: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Aku tidak ingat.’

Jawab Umar: ‘Aku juga tidak melupakannya.’

(Kehidupan para Sahabat, Al-Kandahlawi 2/105-106)

Beberapa iktibar yang boleh dipetik:

  1. Kehidupan awal Islam dipenuhi pelbagai nilai akhlak luhur, yang barangkali sukar ditemui di zaman ini.
  2. Menjadi kebiasaan orang dahulu membawa senjata ke mana sahaja mereka pergi. Atas alasan keselamatan dan kepentingan nyawa, mungkin ia berhajat kepada akta tertentu sekarang.
  3. Seorang pemimpin mungkin tersilap melakukan kesalahan. Yang tersilap patut dimaafkan. Yang sengaja buat silap pula, eloklah meminta maaf.
  4. Umar membayar pampasan atau ganti rugi kecederaan mengenai hujung baju kepada Salamah sebanyak 600 dirham. Kalau kita congak 600 dirham kepada nilai ringgit semasa, mungkin ia mencecah ribu atau puluh ribu ringgit. Satu jumlah gantirugi yang agak besar.
  5. Di zaman kita, pelbagai kesilapan berlaku – mencederakan orang lain, mengambil hak orang lain, membunuh orang dan sebagainya. Soalnya, adakah nilai pampasan atau gantirugi yang dibayar setimpal dengan kesalahan yang dibuat? Perkara ini patut dilihat kembali agar keadilan itu dapat ditegakkan dengan sebenar-benarnya.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -