Kelantan pertahan status negeri pertanian

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK: Status Kelantan sebagai negeri yang berteraskan pertanian terus dipertahankan sehingga sekarang biarpun negara berhadapan dengan perubahan zaman.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, usaha terbabit turut digarap menerusi satu gagasan Bertani Satu Ibadah sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, sejak Kelantan diterajui PAS pada awal 1990-an, agenda itu mula menimbulkan kesedaran rakyat bagi menzahirkan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara.

- Advertisement -

“Insya-Allah kita akan pertahankan dasar tersebut, kita cuba memikirkan bagaimana kaedah untuk menambahbaik sektor pertanian.

“Ini supaya tanah dapat diguna dan diusahakan supaya masalah kekurangan makanan tidak berlaku lagi,” katanya pada sidang media selepas perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2022 di Pantai Irama di sini, hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato’ Abdullah Ya’kub, anggota Exco Kerajaan Negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan wakil-wakil rakyat.

Ahmad juga berkata, bagi memperkasakan lagi agenda itu, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan Negeri pada 22 November 2021.

Menurutnya, jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Besar telah mencadangkan 70 kaedah dalam Pelan Tindakan Strategik Pertanian Negeri Kelantan 2021-2025.

Kata beliau, cadangan tersebut perlu dijadikan sandaran bagi mencapai intervensi kerajaan negeri dalam menaiktaraf sektor pertanian.

“Pertanian bakal menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri serta hala tuju keselamatan makanan dapat diatur dengan sempurna.

“Peruntukan sebanyak RM10 juta disediakan bagi memastikan pelaksanaan pelan tersebut,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -