Seragamkan sistem preskripsi ubat kerajaan dan swasta

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiu mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan sistem preskripsi setara antara hospital dan klinik kerajaan serta swasta.

Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, preskripsi dalam sistem kesihatan kerajaan ketika ini terbukti berkesan dan selamat untuk merawat pesakit.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau yakin sudah tiba masa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha mewujudkan sistem preskripsi yang seragam serta boleh digunakan sama ada di hospital dan klinik kerajaan atau swasta.

“Mengikut amalan sedia ada semasa, preskripsi ubat dari premis kerajaan boleh diguna pakai untuk mendapatkan ubat daripada premis perubatan swasta.

“Namun, saya mendapat maklumat preskripsi daripada pengamal perubatan swasta tidak diterima untuk mendapatkan ubat di hospital kerajaan.

“Adakah benar preskripsi daripada pengamal perubatan swasta tidak laku untuk mendapatkan apa-apa ubat di hospital kerajaan?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Shaharizukirnain, cadangan itu dikemukakan kerana menganggap negara memerlukan kerjasama erat daripada kedua-dua sektor kesihatan itu.

Katanya, kerjasama itu perlu dilakukan bagi memastikan keperluan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan mencukupi. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -