Makan tengah hari di kampus UMK hanya RM3.50

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan set makanan lengkap Food Basket Siswa Keluarga Malaysia dengan harga lebih murah berbanding di restoran atau kedai di luar kampus.

Inisiatif pakej Menu Food Basket Siswa Keluarga Malaysia @ UMK hanya berharga RM3.50 untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam bermula 14 Julai lepas.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Razli Che Razak berkata, pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menangani isu kos sara hidup siswa.

- Advertisement -

Katanya, UMK mendapat kerjasama pengurusan kafeteria UMK Bachok dan UMK Kampus Jeli serta Coffee Story di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa yang menyediakan makanan berkualiti kepada pelajar.

“Ini antara usaha UMK untuk membantu pelajar terutamanya dalam kalangan B40 melalui pelbagai kaedah bantuan dan ia sebagai jihad dalam menjaga kebajikan pelajar dalam meneruskan pengajian.

“Allahamdullilah, insiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos sara hidup siswa,” katanya di sini.

Menurutnya juga pengusaha kafetaria menyediakan menu makanan berkualiti dengan harga yang berpatutan kepada pelajar.

Kata beliau pihak kafetaria juga diberi bantuan moratorium bayaran sewa selama enam bulan bermula bulan ini oleh pihak universiti.

Dr Razli juga berkata, UMK turut memperluaskan program Job On Campus bagi membantu pelajar yang ingin menjalankan pekerjaan di dalam kampus.

Menurutnya pelbagai peluang pekerjaan boleh diceburi siswa UMK meliputi skim pelajar bekerja, pembantu penyelidik serta menjalankan aktiviti keusahawanan di kampus atau secara dalam talian.

Katanya, sehingga sekarang seramai 24 pelajar berdaftar dengan skim pelajar bekerja (SPB) dengan kadar bayaran antara RM4/jam (Prasiswazah) dan RM5/jam (Pascasiswazah).

“Manakala seramai 2,424 orang pelajar menjalankan perniagaan dan mempunyai syarikat serta berdaftar dengan syarikat siswa universiti.

“Skim pelajar bekerja meliputi pengurusan rekod dan pentadbiran pejabat dan CATeL Assistant (housekeeper) di Companion Animal Teaching Lab, Fakulti Perubatan Veterinar,” ujarnya.

Kata beliau usahawan pelajar menjalankan perniagaan dalam kampus dan secara dalam talian. – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -