Ramai mualaf sertai kelas al Quran percuma

- Advertisement -

Oleh NUR URAIFAH SHAH

KOTA KINABALU:
Kelas Asas Membaca Al Quran 1.0 secara percuma yang diadakan di Kampung Naalap Ahad lepas disertai 40 peserta di mana majoritinya saudara kita (mualaf).

Program tersebut dianjur PAS Sepanggar turut dihadiri penduduk kampung tempatan bagi mendalami pembelajaran al Quran.

- Advertisement -

Penyelaras program berkenaan Syamsul Maarif berkata, sambutan orang ramai sangat menggalakkan di mana lebih ramai dijangka akan menyertai siri akan datang.

“Penduduk tempatan sangat mengalu-alukan kelas mengaji al Quran dan mereka berharap program seperti itu dijalankan secara berterusan di kampung itu,” katanya di sini.

Program tersebut diadakan di Surau Al Hidayah, Kampung Naalap. Ia merupakan satu-satunya surau yang terdapat di Kampung Bukit Kokol untuk kegunaan penduduk dan golongan saudara kita.

Turut hadir pada program terbabit Ketua Penerangan PAS Sepanggar Azman Talib dan Penolong Setiausaha Dewan Muslimat PAS kawasan berkenaan Surziani Ahmad.

Syamsul juga berkata, pihaknya berusaha menaik taraf surau tersebut di samping membeli keperluan lain bagi menyediakan kelas mengaji al Quran.

“Kami membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang bagi memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan solat dan mengadakan aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 10052010005872 atas nama PAS Kawasan Sepanggar. – HARAKAHDAILY 21/7/2022