HFMD, COVID-19 di Kelantan menurun

- Advertisement -

KOTA BHARU: “Kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Negeri Kelantan pada tahun 2022 adalah dalam trend menurun di mana kes yang dilaporkan pada minggu epid 28 menurun sebanyak 58.5 peratus berbanding minggu epid 27.”

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, semalam.

Menurutnya, sehingga 16 Julai 2022 (Minggu Epid 28) , situasi semasa Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang dilaporkan di Negeri ini ialah 94 kes menjadikan jumlah kumulatif kes HFMD yang direkodkan bagi tahun 2022 adalah 7,078 kes.

“Terdapat peningkatan kes 27 kali ganda berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021, di mana hanya 261 kes sahaja dilaporkan sehingga minggu epid 28 pada tahun 2021.” 

“Kes tertinggi dilaporkan di daerah Kota Bharu dan diikuti dengan Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat. Walau bagaimanapun, semua daerah mencatat kes melebihi purata bilangan kes HFMD dalam masa lima tahun,” katanya. 

Tambahnya, 25 wabak telah dilaporkan pada tahun ini, berbanding hanya satu wabak pada tahun lepas. Daripada jumlah tersebut, 21 wabak adalah melibatkan institusi pendidikan iaitu pusat asuhan, pra-sekolah dan juga sekolah rendah.

“Sebahagian besar pula adalah kes-kes sporadic yang tidak dapat ditentusahkan punca jangkitan tetapi terdapat sejarah pergerakan ke kawasan tumpuan seperti pasaraya dan sebagainya,” ujarnya. 

Dalam hal berkaitan situasi semasa COVID-19 di Kelantan pula, beliau berkata status bilangan kes sah COVID-19 yang dilaporkan pada tahun 2022 sehingga minggu epid 24 iaitu 18 Jun 2022 adalah sebanyak 78,727 kes, menjadikan trend bilangan kes sah COVID-19 di negeri ini menunjukkan berlaku penurunan yang ketara.

“Ini dapat dibuktikan bermula pada 16 April 2022 sehingga 22 Jun 2022 jumlah kes yang dilaporkan adalah kurang dari 50 kes sehari,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, semalam. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -