Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan ikut keutamaan

- Advertisement -

UNIT Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) mengambil maklum bahawa perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding peruntukan berjumlah RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022. 

Semakan semula keutamaan projek pembangunan dibuat selaras dengan Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 14 Julai 2022 berkaitan pelaksanaan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan untuk membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi. Antara lain, garis panduan tersebut menggariskan perkara berikut: 

a. Perbelanjaan Mengurus (OE): mencapai sekurang-kurangnya 5.0 peratus penjimatan daripada baki peruntukan bagi 2022; dan 

b. Perbelanjaan Pembangunan (DE): projek-projek yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan dikaji semula keutamaannya agar langkah pemulihan seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang dijangka pada tahun ini tidak terjejas. Projek-projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti hendaklah ditangguhkan kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat. Namun, proses pra-perolehan yang tiada implikasi kewangan akan diteruskan.

Selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), saya mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMKe-12 sebulan sekali untuk memastikan projek-projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan peruntukan yang disediakan dibelanjakan sepenuhnya. 

Pada hari ini, 19 Julai 2022, saya telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tindakan susulan berkaitan dengan peruntukan DE yang perlu diambil selaras dengan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh MOF. Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mesyuarat hari ini antara lain telah memutuskan projek-projek dicadangkan dikaji semula pelaksanaannya: 

a. Projek-projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan;

b. Projek-projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat; dan 

c. Projek-projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak. 

Manakala projek-projek yang telah dikeluarkan iklan tender, Surat Niat dan Surat Setuju Terima akan diteruskan. Ini penting bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19. 

Sesi libat urus antara MOF, EPU dan ICU dengan semua kementerian akan diadakan minggu hadapan untuk memberi penjelasan mengenai cadangan semakan semula keutamaan pelaksanaan projek pembangunan tahun 2022.  

Kerajaan akan memastikan langkah-langkah penjimatan dilaksanakan ini tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. 

DATO’ SERI MUSTAPA MOHAMED
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -