1,653 guru anak jati Sabah isi perjawatan di KPM

- Advertisement -

SEBENTAR tadi saya menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat berkenaan status pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off, khususnya bagi Negeri Sabah oleh Ahli Parlimen Kalabakan. Ini termasuk soalan tambahan berkaitan perkara yang sama dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jerai dan Ahli Parlimen Kulai.

Secara umumnya daripada 18,702 kekosongan jawatan yang diperlukan, seramai 16,381 orang guru telah dilantik dan ditempatkan di sekolah bawah KPM. Daripada jumlah ini, seramai 13,770 adalah lantikan secara tetap manakala 2,611 orang adalah secara CoS.

Seramai 1,653 orang guru yang dilantik melalui ambilan ini adalah anak kelahiran Sabah dengan 1,221 daripadanya ditempatkan di sekolah di Negeri Sabah.

Saya juga menjelaskan mengenai kenapa KPM tidak melantik guru-guru yang berasal daripada Sabah untuk mengajar di Sabah. Ini antaranya disebabkan kekurangan bekalan guru kelahiran Sabah bagi opsyen tertentu yang diperlukan di negeri tersebut.

Turut disentuh adalah berkaitan dakwaan lantikan guru one-off dibuat secara tidak telus dan juga kuota untuk guru CoS. Ingin saya tegas sekali lagi, tiada kuota khas untuk calon CoS.

Berkenaan pendekatan bagi mengisi baki 2,321 kekosongan, saya jelaskan bahawa kekangan utama adalah kekurangan bekalan guru di pasaran bagi subjek kritikal terutama mata pelajaran Bahasa Inggeris.

KPM komited memastikan keperluan guru di sekolah diurus sebaiknya. Di samping itu, KPM juga akan terus menambah baik penggunaan kaedah kluster mata pelajaran bagi pengambilan seterusnya agar dapat memberi peluang kepada lebih ramai graduan pendidikan mengisi kekosongan yang ada.

YB DATUK DR RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -