Pegawai Halaqat dipertingkatkan lagi peranannya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, bagi meningkatkan peranan serta tugas Pegawai Dakwah Halaqat dan Pembantu Pegawai khususnya dalam usaha untuk membimbing masyarakat, pihak Halaqat Negeri telah menganjurkan beberapa siri kursus.

Menurutnya antara kursus tersebut ialah Kursus Penyampaian Berkesan dengan Kerjasama Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia (IPTG) pada tahun 2019 dan 2021 yang mana kesemua anggota Halaqat Negeri telah mengikuti Kursus Dakwah Media Baharu di H Elite Hotel, Tunjong sebanyak dua siri.

Seterusnya kata beliau lagi, pada 26 Mei 2022 lalu, anggota Halaqat dan Mudarris Program Membina Generasi Solat (MGS) juga telah menghadiri seminar satu hari bertempat di Dewan Utama Markaz Dewan Ulama, Labok, Machang Kelantan.

Tambahnya, bermula awal tahun 2022 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) dengan Kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menganjurkan kelas pengajian taffakuh fiddin kepada semua pegawai Halaqat Negeri Kelantan. Program ini dilaksanakan di beberapa zon antaranya Gua Musang, Kuala Krai, dan Machang.  

“Dalam kelas pengajian ini, mereka akan dibekalkan dengan ilmu pengetahuan termasuklah bagaimana cara untuk menyampaikan dakwah yang berkesan kepada masyarakat, melalui tiga cara iaitu dengan hikmah, melalui pengajaran yang baik yang disebut di dalam Al-Quran dan terakhir adalah berhujah dengan cara yang terbaik. Kesemua ini adalah di antara pengajian yang kita terapkan dalam pengajian taffakuh fiddin dengan Kerjasama JAHEIK bersama pihak KIAS,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan daripada ADUN Pulai Chondong, YB Azhar Salleh yang meminta kerajaan menyatakan apakah perancangan untuk memastikan peranan serta fungsi pegawai Dakwah Halaqat dalam membimbing masyarakat dan program yang telah diatur bagi meningkatkan kerjaya mereka pada hari ketiga Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2022, hari ini. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -