Walau harga meningkat ibadah korban tetap meriah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Biarpun rakyat terhimpit dengan kenaikan harga barang kebelakangan ini, namun ibadah korban tetap disambut meriah umat Islam termasuk di Perlis.

Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim berkata, semangat pengorbanan wajar dihayati dan diterapkan dalam masyarakat sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha.

Katanya program ibadah tahun ini tetap mendapat sambutan penduduk DUN Guar Sanji sejak diadakan mulai 2019.

- Advertisement -

“Alhamdulillah seramai 42 orang mengambil bahagian dan lapan ekor berjaya ditumbangkan,” katanya pada program berkenaan semalam.

Program itu diadakan secara gotong-royong dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil DUN Guar Sanji dan Majlis Tindakan DUN Guar Sanji di Markas PAS Semut Gatal.

Menurutnya juga biarpun harga bagi setiap bahagian lembu antara RM700 hingga RM800, namun ibadah korban tetap dapat dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, masjid dan surau di seluruh negara kembali menjadi tumpuan orang ramai untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban.

“Anak perantauan juga ramai pulang ke kampung,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha Badan Perhubungan PAS Perlis di Kompleks Ibnu Aqil pada Ahad.

Solat sunat Aidiladha diimamkan Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis Idris Yaakob, manakala Ketua Penerangan PAS Perlis Muhammad Azmir Azizan menyampaikan khutbah.

Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, Setiausaha PAS Negeri, Baharudin Ahmad dan Adun Guar Sanji.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, orang ramai dilihat masih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) walaupun sudah dilonggarkan.

“Di Dun Sanglang sebanyak empat ekor lembu serta dua ekor kambing dikorban semalam, dan bersambung hari ini dengan dua ekor lembu lagi,” katanya.

Menurutnya harga satu bahagian korban meningkat sehingga RM850 tahun ini. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -