Dahulu harga ayam tak menentu, sekarang minyak masak tiada

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Sebelum ini peniaga berhadapan dengan kenaikan harga ayam yang tidak menentu, namun sekarang berdepan isu kekurangan bekalan minyak masak.

Seorang peniaga ayam gunting, Mohd Fahmi Othman, 28, berkata, situasi itu menyebabkan kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga barang jualan.

“Perniagaan ayam gunting masih dapat bertahan, tetapi terpaksa naikkan harga jualan kepada RM10 seketul. Pelanggan pun terpaksa menerima situasi tersebut.

- Advertisement -

“Minyak masak menjadi bebanan besar kepada peniaga sekarang, minyak paket boleh dikatakan hampir tiada, kami terpaksa guna minyak botol, dan ini meningkatkan lagi kos jualan.

“Minyak paket sekilogram RM2.50, minyak botol RM6 sekg, harga yang sangat berbeza menyebabkan perkara ini menjadi beban kepada peniaga,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Katanya juga beliau terpaksa mengurangkan penggunaan minyak masak daripada 30 liter kepada 15 hingga 17 liter sehari.

Menurutnya dahulu beliau menggunakan dua dapur mesin goreng ayam yang memerlukan 30 liter minyak, namun sekarang terpaksa guna satu sahaja mesin sahaja.

Kata beliau sebelum ini modal minyak RM37.50 namun sekarang meningkat kepada RM90.

Bagi peniaga kek dan pastri, Syazwani Abu Bakar, 37, turut menghadapi masalah yang sama kerana berlaku kenaikan harga bahan asas untuk membuat kek seperti tepung gandum, telur, minyak dan mentega.

“Boleh dikatakan semua bahan asas naik mendadak, kalau sebelum ini, sebiji kek marble boleh dijual harga RM15 hingga RM18 tetapi kini terpaksa naikkan harga kepada RM20 ke atas.

“Jika mahu tetapkan harga lama, perlu tukar bahan kepada yang lebih murah contoh jika sebelum guna butter tukar kepada margerin, tetapi saya tidak mahu berbuat demikian kerana kualiti kek akan berubah,” katanya.

Sementara itu pengurus kedai runcit, Helmi Mustaqim Mt Yusuf, 28, berkata, beliau terpaksa menghadkan penjualan minyak masak kerana bekalan dari pengilang terhad.

Katanya beliau terpaksa hadkan penjualan minyak masak kepada dua paket sahaja seorang supaya adil kepada semua pembeli. – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -