Ubah suai lori seludup daun ketum

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya patahkan sindiket pengedaran daun ketum sebanyak 337 bungkus seberat 3,370 kilogram selepas mengekori sebuah lori sejuk beku sejauh 50 kilometer di jalan raya Timur-Barat, Kampung Batu Melintang, pagi semalam.

Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, sindiket pengedaran daun ketum itu dipercayai menggunakan taktik modus operandi dengan mengubah suai sebuah lori dengan memasang jeriji besi selain meletakkan kotak untuk melindungi barangan terlarang.

“Dalam serbuan itu, kita membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori bernombor pendaftaran tempatan dan hasil pemeriksaan dilakukan ditemui daun ketum dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM33,700.

Advertisement

“Oleh itu, JKDM juga sedang mengesan pemilik daun ketum tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racub 1952,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Padang Bongor, di sini hari ini.

Kata beliau juga pada serbuan itu pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40 tahun yang merupakan seorang pemandu.

Katanya penyeludupan itu dipercayai dibawa dari negeri jiran untuk dibawa masuk ke negeri ini bagi tujuan pemasaran tempatan.

Justeru itu beliau berharap orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain-lain.

Mohd Nasir juga berkata, pada 15 Mei dan 1 Jun lalu Kastam Kelantan menumpaskan dua kes pengedaran daun ketum bernilai RM12,175 seberat 664 kg. – HARAKAHDAILY 7/7/2022