Aspiring Stong berpotensi sebagai geopark Kelantan

- Advertisement -

KUALA KRAI: Aspiring Stong Geopark (ASG) telah dikenal pasti serta berpotensi untuk diangkat sebagai Geopark Kebangsaan pertama di Kelantan, kerana memiliki keunikan geologi serta landskap perbukitan batu kapur yang dilitupi ekosistem tumbuhan hijau yang berbagai jenis. 

Sementara itu, Menteri KeTSA YB Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dalam siri lawatan kerja ke ASG pada Jun lepas, memilih untuk melawat empat kawasan terpilih di antara 25 kawasan geotapak yang telah dikenalpasti oleh JMG dalam kawasan ASG yang mempunyai keunikan pembentukan batu kapur serta keindahan landskap, di antaranya adalah Gunung Reng, Lata Renyok, Gunung Stong dan Gua Ikan. 

Beliau yang ditemui berkata, KeTSA memperuntukkan RM300,000 di bawah Program Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli ke arah pembangunan ekonomi setempat khususnya untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur.

“Ini termasuklah bagi kerja-kerja pembinaan mercu tanda serta menaiktaraf prasarana pengunjung ke Gua Ikan, Gunung Stong, dan Gunung Reng, pada masa yang sama KeTSA juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membangunkan Geopark Stong,

“Saya mengharapkan dengan inisiatif ASG dan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan nanti, Geopark Stong akan dapat dipromosikan pada peringkat nasional seterusnya dapat memacu aktiviti ekonomi komuniti setempat,” Ujarnya. 

Untuk rekod, ASG yang berkeluasan 2,132 kilometer persegi ini meliputi Daerah Kuala Balah, Daerah Batu Melintang, dan Daerah Jeli. 

Manakala tema ‘Aspiring Geopark’ yang digunakan merujuk kepada kawasan atau Geopark yang telah dikenalpasti berpotensi untuk dicalonkan sebagai Geopark Kebangsaan tetapi belum mendapat pengiktirafan.

Justeru, bagi membuka peluang penglibatan komuniti dalam aktiviti geopelancongan Stong, KeTSA juga menganjurkan kursus geoguide kepada komuniti setempat. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -