UniMAP hantar sukarelawan bantu mangsa banjir di Baling

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghantar 15 sukarelawan menggunakan dua kenderaan membawa bantuan makanan asas bernilai RM1,500 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) di Kampung Iboi, Baling.

Selain itu mereka skan membantu dua pelajar UniMAP yang terjejas ekoran banjir tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, misi awal bantuan banjir itu bertujuan mengenal pasti kawasan dan PPS yang terlibat.

- Advertisement -

“Kami juga akan mencari dua pelajar UniMAP iaitu Izatul Najwa Abdullah dan Na’iman Mohamad Nawavi yang turut terlibat dalam kejadian banjir tersebut.

“Manakala misi kedua menglibatkan 100 sukarelawan menggunakan dua bas bagi penumpuan bantuan dan aktiviti pembersihan kediaman penduduk,” katanya selepas majlis pelepasan Ops Kasih Banjir Baling Kedah semalam.

Majlis pelepasan tersebut dilakukan oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli. Turut mengikuti misi tersebut Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP, Mustaffa Ismail.

Dr. Mohd Fo’ad juga berkata, UniMAP amat prihatin dengan kejadian yang menimpa penduduk dan komited untuk membantu meringankan beban mereka.

Oleh itu beliau berharap misi bantuan UniMAP dan rakan-rakan universiti serta NGO akan mempercepatkan proses agar penduduk dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Walaupun ada yang kehilangan ahli keluarga dan saudara mara, semoga mereka tabah dan kami di UniMAP sedia menghulurkan apa jua bentuk bantuan bagi mengurangi bebanan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2022

- Advertisement -