22 kes keracunan makanan di Kelantan tempoh dua tahun

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 22 kejadian keracunan makanan yang melibatkan 1,079 kes dilaporkan di Kelantan sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kebanyakan kejadian keracunan makanan dilaporkan berlaku di kantin sekolah, dapur asrama, komuniti dan institusi pengajian tinggi.

Katanya pengusaha dan pengendali makanan perlu menerapkan penjagaan kebersihan bagi mengelak berlaku keracunan makanan.

“Pengusaha makanan yang beroperasi di rumah juga perlu melakukan perkara sama sebelum menjual di gerai-gerai tepi jalan atau di mana-mana premis.

“Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempertingkatkan pemantauan di premis dan gerai di tepi jalan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan berulang,” katanya selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kelantan 2022 di Mydin Mall Bandar Baharu Tunjong di sini hari ini.

Dr Izani berkata, sebanyak 17 premis makanan daripada 4,097 yang diperiksa diarah tutup selama dua minggu sejak Januari lalu selepas didapati tidak menjaga kebersihan.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan apabila hanya enam premis diarah tutup sepanjang tahun lalu.

Kata beliau agensi yang berkepentingan perlu bekerjasama melaksanakan kawalan keselamatan makanan.

“Ia bermula di peringkat di ladang sehingga ke meja makan bagi memastikan pengguna menerima makanan yang selamat dan berkualiti.

“Kebersihan makanan sangat penting kerana itu Islam sangat menitik beratkan soal kebersihan dan kesucian halal dan haramnya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, makanan yang diambil kena ikut kuantiti dan jangan terlalu banyak bagi mengelak berlakunya kerosakan di bahagian perut. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -