Kelantan rakam takziah mangsa banjir di Baling

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan turut merakam ucapan takziah kepada rakyat Kedah berikutan banjir yang berlaku di negeri itu khususnya di beberapa kampung di Baling.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kejadian yang itu cukup menyayat hati di mana ada mangsa yang hilang dan berlaku kemusnahan harta benda.

“Takziah kepada semua mangsa, semoga diberi ketabahan dan kesabaran atas ujian berat tersebut.

“Sama-sama kita mendoakan agar usaha-usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir terutama di kawasan yang terjejas teruk dipermudahkan oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Sementara itu, kesemua tiga dari sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang petang semalam ditemukan pasukan penyelamat jam 9.30 pagi tadi.

Dua mangsa tersebut, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Mayat terakhir Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, pula ditemui pasukan penyelamat pada jam 11.55 pagi tadi.

Tiga mangsa terbabit dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Iboi, Kupang, runtuh akibat terkena arus deras air dari arah bukit. – HARAKAHDAILY 5/7/2022

- Advertisement -