Penduduk Tionghua terima sumbangan khairat kematian

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH:
Rakyat Kedah yang bukan beragama Islam turut menerima sumbangan khairat kematian tajaan kerajaan negeri.

Bagaimanapun tidak ramai masyarakat bukan Islam yang mendapat maklumat mengenai program berkenaan.

Yang Dipertua PAS Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kundur sehingga sekarang seramai 10 penduduk kaum Tionghua menerima Khairat Kematian.

- Advertisement -

“Insya-Allah ada lagi yang sedang menunggu dan kita akan serah dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam diadakan majlis penyampaian sumbangan Khairat Kematian di Dewan Al-Amin Telok Bagan melibatkan beberapa penerima termasuk dalam kalangan kaum Tionghua.

Dr Fakhruddin yang juga Penyelaras DUN Pengkalan Kundur berkata, maklumat mengenai program berkenaan perlu disebarluas supaya rakyat mendapat info yang lebih tepat.

Menurutnya juga sumbangan Khairat Kematian dinaikkan kepada RM500 setiap keluarga berbanding RM250 ketika Kedah diterajui kerajaan lama.

“Mereka (kaum Tionghua) meluahkan perasaan teruja dan ada antara mereka yang menyatakan sokongan tanpa berbelah bagi kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Ini kerana sebelum ini sumbangan seperti itu jarang diterima mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, agenda kebajikan antara program utama kerajaan negeri selaras moto ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’. – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -