Perlu depani cabaran kehadiran pengundi muda

Oleh YUSRIZAL BACO

LAHAD DATU:
Pemuda PAS perlu mendepani cabaran kehadiran pengundi muda terutamanya Undi18 yang bakal mendominasi jumlah pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Sabah, Jumaidin Lakalla berkata, Pemuda PAS perlu merebut peluang mendekati pengundi muda bagi mendedahkan mereka tentang politik Islam.

“Di kawasan Lahad Datu hampir separuh daripada jumlah pengundi merupakan pemilih muda,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Lahad Datu, di Dewan Mesej Nala Tungku di sini semalam.

Advertisement

Hadir sama Ketua Dewan Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo dan Naib Yang Dipertua PAS kawasan itu Mursidi Amat.

Jumaidin juga berkata, Pemuda PAS perlu menggunakan peluang yang ada sekarang mendekati anak-anak muda bagi memberi kefahaman kepada mereka tentang politik Islam.

Menurutnya politik Islam yang tidak meminggirkan masyarakat bukan Islam malah ia mampu menjadi pilihan terbaik selepas sistem politik tajaan Barat gagal membawa keharmonian kehidupan masyarakat.

Landari pula berkata, bagi memenangi PRU pemuda PAS perlu bergerak lebih awal dengan melaksanakan melaksanakan gerak kerja terutamanya menjuarai isu-isu masyarakat.

“Kita kena rancang gerak kerja awal bermula sekarang bagi menambat hati setiap anggota masyarakat terhadap PAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2022