Adaptasi ledakan teknologi digital – Ahmad Amzad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ekosistem perkhidmatan dan ekonomi global kini berkembang secara lebih pesat setelah berubah mendadak dengan beralih kepada penggunaan teknologi digital kesan pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan teknologi digital telah membawa impak, cabaran dan idea baharu dalam membangun dan merubah cara kerja.

Menurutnya, generasi lalu tidak meramalkan, malah ragu terhadap keperluan transformasi digital dalam urusan mereka, namun COVID-19 akhirnya memaksa interaksi tanpa sentuh dalam hampir semua operasi.

Jelasnya, teknologi digital merupakan satu anjakan paradigma dalam kekangan atas urusan yang terpaksa ditutup atau aktiviti terhad di mana memulakan suatu realiti mesti diaplikasikan dewasa ini.

“Pandemik telah membawa kita kepada satu realiti dalam urusan semasa dari enggan menerima transformasi digital, tetapi sekarang ia diperlukan di mana kita akan berdepan kesukaran jika tidak bersedia menggunakannya.

Beliau menyampaikan ucapan penutup pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi Digital Dunia 2022 anjuran Institut Strategik Asia Pasifik (KSI) di Hotel The Majestic, di sini kelmarin.

“Atas tekanan kesihatan persekitaran yang merisikokan pekerjaan terjejas dan permintaan turun dengan mendadak serta ketidaktentuan ekonomi, maka operasi dan tenaga kerja perlu berhijrah kepada persekitaran maya,” ujarnya.

Katanya, teknologi digital telah merubah dari persaingan kurang berdaya kepada inovasi lebih pantas dan pembangunan strategi membolehkan banyak urusan dilaksanakan di sebalik cabaran pandemik.

Akui beliau, krisis itu telah melahirkan kepintaran dan idea lebih baik untuk banyak organisasi dan urusan didorong ke arah mempraktikkan lebih prestasi dan keupayaan perkhidmatan serta merapatkan jurang sosial. 

“Malah, untuk produktiviti hari ini, penyesuaian teknologi baharu juga telah diadakan termasuk dalam sistem automasi, robotik, kecerdasan pembuatan dan sensor kawalan jauh dalam operasi.

“Selain meningkatkan pengeluaran dan memenuhi aspek keselamatan, ia juga membantu persaingan di pentas dunia,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu. 

Peluang besar dan luas

Terang Ahmad Amzad lagi, penggunaan teknologi digital turut mendatangkan pendapatan lumayan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup serta memberi manfaat kepada ramai orang.

Maklum beliau, ekonomi digital negara turut menetapkan kerangka tindakan untuk memaksimumkan faedah dan peluang mampu ditawarkan di sebalik cabaran-cabaran seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Ekonomi digital telah berkembang dengan petunjuk dalam beberapa bulan mutakhir ini dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 500,000 pekerjaan menjelang tahun 2025.

“Kerajaan akan teruskan melibatkan diri dengan semua rakyat Malaysia untuk memastikan kita memandang ke hadapan secara fleksibel dan responsif kepada semua peluang baharu dan cabaran yang timbul,” ujarnya.

Menyentuh secara khusus ekonomi digital di peringkat ASEAN, beliau mengingatkan betapa rantau ini antara pasaran internet yang pesat dalam dunia di mana akan mencapai nilai USD1 trilion pada tahun 2030.

“Apa yang menarik kepada hakikat itu ialah 80 peratus daripada 440 juta pengguna internet di ASEAN adalah pengguna digitalmyang ditakrifkan membuat pembelian sekurang-kurangnya satu perkhidmatan digital. Ini adalah pasaran yang besar,” katanya.

Malaysia sendiri bentangnya, mendahului negara ASEAN lainnya dalam penggunaan digital di mana sumbangan ekonomi digitalnya dijangka bernilai USD35 bilion menjelang tahun 2025.

Jelas beliau, di negara ini teknologi digital sudah meluas digunakan dalam e-Dagang dan urusan perkhidmatan pembayaran digital, selain turut meluaskan latihan bakat digital.

“Tambahan pula Malaysia menyediakan gentian optik pantas dan mudah alih capaian internet jalur lebar serta menyelaraskan inovasi antara perniagaan, universiti dan pihak berkuasa,” terangnya.

Ahmad Amzad turut menjelaskan betapa sains, teknologi dan inovasi (STI) membawa peranan dan sumbangan penting kepada digitalisasi, termasuk dalam sektor lainnya. 

Beliau merujuk kepada isu kelaparan kerana masalah capaian sekuriti makanan yang perlu ditingkatkan menerusi kelestarian pertanian, sekali gus mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan.

STI harapnya akan membawa kepada inklusif dan kemampanan dalam menyediakan pekerjaan dan produktiviti serta kepada alam sekitar dan perkongsian strategik global dalam banyak bidang. – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -