Kerajaan proaktif kekang penularan ajaran sesat

- Advertisement -

REALITI hari ini, umat Islam berhadapan dengan cabaran yang amat berbeza. Pelbagai isu membimbangkan, khususnya ajaran-ajaran sesat yang jauh menyimpang dari akidah berlaku saban hari. Lebih parah, ajaran sesat kini sudah menguasai platform media sosial, yang pastinya mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak muda kita, generasi yang bakal mencorak masa depan negara.

Atas dasar itu, pentingnya umat Islam, khususnya anak muda mempunyai kefahaman dan pengukuhan terhadap pegangan ajaran Islam yang sebenar, berasaskan dalil dan nas sahih. Umat Islam harus berpegang dengan ajaran yang benar bersandarkan sanad, bukan hikayat-hikayat dongeng yang dibawa ‘Tok Guru’ tanpa sandaran. Bimbang suatu saat nanti, setiap yang pernah kita haramkan dulu menjadi halal, hanya kerana ajaran-ajaran salah tanpa bersandarkan rujukan dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Umat Islam juga harus berpegang dengan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar, yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W mengikut manhaj dan kaedah Salaf dan Khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah). Mereka berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar.

Mereka mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, dan tidak taksub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam. Inilah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar, yang menjadi pegangan para ashabus samahah mufti-mufti serta alim ulamak kita dari dahulu sehingga kini. 

Saya percaya penganjuran Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah peringkat Wilayah Persekutuan oleh JAWI hari ini mampu memberikan kefahaman dan pengukuhan terhadap pegangan ajaran Islam, serta menjadi platform dan benteng kepada ancaman pelbagai ajaran dan kepercayaan yang menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar.

Tahniah JAWI atas penganjuran Konvensyen hari ini. Semoga usaha ini akan menjadi suatu manifestasi kerajaan dalam memastikan akidah umat Islam di negara ini terus terpelihara.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -