Filem Mat Kilau tonjol peranan ulama tuntut kemerdekaan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Fenomena filem Mat Kilau ternyata berjaya membangkit kesedaran anak muda mengenai peranan ulama menentang penjajah sehingga menyumbang kepada kemerdekaan negara.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis Idris Yaakob berkata, setiap anggota masyarakat terutamanya anak muda wajar mengambil semangat tersebut untuk mendalami ilmu agama.

“Kita tidak menafikan filem Mat Kilau sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat, namun perkara yang lebih utama semangat jangan hanya bersifat sementara.

“Momentum ini perlu dikekalkan dengan mendalami ilmu agama, kerana kebanyakan pejuang Melayu terdiri daripda golongan ulama,” katanya di sini.

- Advertisement -

Menurutnya juga karya seperti itu bukan sekadar untuk dikomersialkan malah akan memberi pengajaran kepada masyarakat.

Kata beliau filem seperti itu jangan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya dapat memberi pengajaran kepada masyarakat mengenai penglibatan ulama dalam perjuangan kemerdekaan.

“Ramai lagi watak tokoh perjuangan yang harus diketengahkan seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Idris isu pawagam di Kelantan sepatutnya tidak dibangkitkan kerana banyak lagi keperluan yang lebih penting bukan hanya pawagam.

Kata beliau rakyat sekarang berhadapan dengan peningkatan harga makanan dan kegawatan ekonomi setelah melalui pandemik Covid-19 selama dua tahun.

“Perkara ini yang sewajarnya diutamakan kerana fenomena Mat Kilau hanya sifatnya sementara. Pawagam bukan bersifat kepentingan. Tidak wajar semua perkara mahu dipolitikkan,” ujarnya.

Difahamkan sehingga sekarang hanya Kelantan dan Perlis sahaja yang tidak mempunyai pawagam di negara ini. – HARAKAHDAILY 1/7/2022

- Advertisement -