Ramai atlet Kedah cipta nama di peringkat antarabangsa

Foto daripada Facebook Muhammad Sanusi Md Nor.
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri menghargai kejayaan atlet tempatan yang berjaya mengharumkan nama Kedah di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejayaan itu menjadi perangsang kepada atlet lain untuk berusaha lebih gigih bagi mengharumkan nama negeri dan negara.

“Saya mengucap syabas dan tahniah kepada semua atlet Kedah yang berjaya membawa pulang pingat sekaligus mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya pada Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Sukan SEA dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia.

- Advertisement -

Program itu diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam. Pada majlis itu Menteri Besar menyerahkan sumbangan RM21,000 sebagai ganjaran kemenangan kepada semua atlet Kedah.

Atlet yang diraikan antaranya Mohamad Aznil Bidin (pingat erak Angkat Berat Kategori 61 kg), Muhammad Syazirol Shamsuddin (perak Tenpin Bowling Berpasukan), Kok Jing Hong (perak Badminton Berpasukan Lelaki).

Selain itu Mohamad Robial Sobri (gangsa Pencak Silat Putra), Nur Lyana Soberi (gangsa Futsal), Cheng Su Hui (gangsa Badminton Bergu Wanita), P Madhuri (gangsa Karate Berpasukan), Lai Chia Chien (gangsa E-sports Dota) dan Mohamad Amizul Hafiz Mohd Fadzli (gangsa E-Sports PUBG).

Menurutnya juga kejayaan dua pelumba Kedah iaitu Nurul Izzah Izzati Mohd Isa, 19 dan Umar Hasbullah, 18 sangat dikagumi.

Nurul Izzah merupakan wanita pertama Malaysia memenangi pingat emas bagi acara Ujian Masa 500 meter dengan kelajuan 35.49 saat.

Selain itu pingat gangsa dalam acara Keirin Elit, manakala Umar memenangi pingat gangsa melalui acara Team Sprint.

“Saya melihat keupayaan dan kejayaan Nurul Izzah mirip pencapaian Dato’ Muhammad Azizul Hasni Awang dan sesuailah kalau saya gelarkan beliau sebagai ‘The Poket Rocket Girl’.

“Lebih membanggakan beliau berjaya melakar sejarah negara kerana kali pertama menyarung jersi negara di pentas Asia dan memenangi jersi rainbow putih,” tambah beliau.

Kemenangan atlet Kedah itu secara tidak langsung membantu kontijen Malaysia dengan menyumbang tiga pingat perak dan enam gangsa.

Kata Sanusi penghargaan juga tidak dilupakan kepada jurulatih yang bertungkus lumus membantu atlet sehingga berjaya mencipta sejarah buat negara.

Katanya, biar pun Kedah tidak mempunyai velodrom dan tempat latihan pelumba Wanita, namun masih mampu mencipta kejayaan.

Menteri Besar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri yang berusaha melahirkan ramai atlet mencipta nama di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini merupakan bekerjasama jurulatih dan persatuan-persatuan di Kedah, bersesuaian dengan moto ‘Permuafakatan Membina Kejuaraan’,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -