Isu wayang yang ‘wayang’

- Advertisement -

SEBELUM pandemik dan PKP, saya berjalan di KB Mall, Kota Bharu. Di tingkat 3, saya lihat iklan bahawa sebuah panggung wayang bakal dibuka di sana. Namun, setelah 3 tahun kini, ia belum dibuka dan khabarnya, pengusaha menarik diri. Atau mungkin ada asbab lain?

Manakala di negeri Presiden PAS, Terengganu, wayang dibenarkan dengan memperkenalkan kerusi keluarga, lelaki dan wanita. Pawagam di negeri ini adalah tinggalan kerajaan Umno terdahulu, PAS hanya menerima legasi sedia ada dan diperelok dengan garisan dan limitasi agama. 

Sudut lain di Terengganu adalah, tiada pertunjukan wayang atau hiburan pada malam Jumaat dan esoknya iaitu hari Jumaat. Ini persis yang telah dilaksanakan Kelantan sejak 30 tahun lampau. Tahniah kedua-dua negeri. 

Ketika Arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup (29 September 2013), Tok Guru telah mengadakan suatu majlis bersama para artis. Beliau menangis kerana ‘di akhir usia beliau dapat kumpulkan dan berdakwah’ kepada mereka. Itu sekadar coretan silam. 

Sejak itu kemudiannya, kita melihat perubahan budaya baharu hiburan, dan ia berlaku lebih rancak. Artis-artis wanita mulai bertudung. Drama tanpa babak aksi di bilik tidur juga semakin banyak. Ini juga satu perkembangan yang amat menarik jika soroti.

Cerita hiburan lain adalah berkait Mak Yong patuh Syariah yang diperkenalkan Exco Kesenian Kelantan pada Oktober 2020. Ia menjadi satu bukti bahawa Kelantan tidak pernah menyekat seni budaya dan hasil seni tradisional; asalkan ia tidak melanggar hukum dan syariat agama.

Syahmi Shazli pula seterusnya membuktikan kejayaan lakonan tanpa sentuhan lelaki dan perempuan. Sudah dua filem dilahirkan anak muda Kelantan ini. Bermula dengan siri-siri Youtube yang dilihat bersahaja, disulami komedi Asif dan Yo, ia berjaya menembusi minat penonton pelbagai dalam negara kita.

Itu baru sedikit jika mahu diceritakan betapa pengalaman Kelantan menguruskan anak seni dalam dan luar negara. Kita semua masih ingat kemeriahan konsert Mawi satu ketika dahulu di Kelantan. 

Tidak lupa dengan pelbagai sesi sembang santai, bual bicara, ceramah motivasi, bahkan medan politik yang Kelantan buka kepada anak seni seperti Aisyah, Abby Abadi, Hairi Othman dan ramai lagi tak mampu dicatat di sini, termasuk artis-artis antarabangsa. 

Ini menunjukkan betapa terbukanya Kelantan menyapa dan menerima anak seni. Namun, musuh politik PAS sentiasa cemburu, dan duduk tidak senang dengan keramahan Kelantan dengan artis. 

Bahkan ada pula yang meleret-leret sinisnya hingga terhadap kesungguhan Kelantan ingin menganjurkan SUKMA pada tahun 2024. Itupun jadi isu bagi mereka?

Tiada yang pelik sebenarnya kerana pelari SUKMA terbaik 2018, berpakaian patuh syariah dari Terengganu. Manakala pasukan bola Liga Premier – Kelantan United FC adalah dari Kelantan turut patut syariah dari segi pakaiannya. Mudah bukan?

Kerajaan Kelantan pula terkini telah memberi pengiktirafan kepada ‘Pok Ya Cong Codei’ atas kehebatan dan bakat beliau. Kehebatan usaha Sabri Yunus yang berasal dari Kampung Landak, Pengkalan Chepa ini tidak dapat dipertikai lagi.

Sebenarnya dan sesungguhnya, PAS tidak memusuhi hiburan. Jangan kata sukan, seni tradisional, artis tanah air bahkan artis luar negara dari Indonesia sendiri turut sama diraikan banyak kali di Kelantan. Oki Setiana Dewi dan Derry Sulaiman serta Opick sering mewarnai malam malam yang indah di Kota Bharu.

Terkini yang terlebih saya suka adalah, setelah berada dalam Kerajaan Pusat, filem Buzz Lightyear tidak akan ditayangkan di Malaysia kerana mempunyai babak LGBT. Bijak keputusan ini, tahniah pada Kerajaan Malaysia.

Kemudian minggu ini kita semua suka dengan terbitnya filem Mat Kilau. Sebuah filem sejarah yang diberikan nafas baharu dan diraikan oleh PAS secara terang-terangan. 

Lalu berkata sinislah golongan ‘acah-acah’ hendakkan Islam kehairanan dengan pembawakan PAS yang teruja dengan kisah Mat Kilau. Seolah-olah mereka tidak pernah kenal PAS yang amat konservatif pada pegangan, namun semakin ‘updated’ dari segi pembawaan. 

Kononnya ‘mundur’ dan ‘totok’ Kelantan kerana tiada wayang. Jawapan kita mudah sahaja. Kita memerintah Malaysia, semua negeri ada wayang dan PAS meraikan proses panjang dalam mendidik masyarakat.

Hakikatnya, mereka takut masyarakat terdidik dengan sisi sebenar Hiburan Islam dan Hidayah Islam itu sendiri. Mereka ‘gembira’ masyarakat takut dengan Islam. Orang lalai mereka biarkan. Apabila PAS berusaha menyebarkan kebaikan, segala usaha dibuat bagi menghalangnya.

WAN HUSNI WAN OSMAN
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -