Tiada SOP tambahan sambut Aidiladha di Kelantan

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Tiada sebarang prosedur operasi standard (SOP) tambahan baharu menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha di Kelantan, sebaliknya ia diteruskan dengan SOP sedia ada seperti dikeluarkan kerajaan.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, biar pun tiada sebarang SOP tambahan baharu, namun rakyat diingatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, di sini hari ini.

Malah sekiranya perlu ketika berada di tempat sesak atau majlis keramaian orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka, selain SOP lain dipatuhi bagi membendung atau melindungi diri daripada sebarang jangkitan.

Katanya, ia bagi memastikan sambutan Aidiladha diraikan dengan selamat, biarpun pemakaian pelitup muka di kawasan luar bangunan tidak lagi diwajibkan sekarang.

“Di Kelantan sejak bulan Ramadan lalu tidak ada penjarakan sosial, namun kita mengamalkan kaedah atau SOP yang dikeluarkan kerajaan iaitu perlu menjaga penjarakan atau keselamatan seperti biasa yang disarankan.

“Apa yang telah praktikkan kita harus patuhi dan selain itu kita tidak ada SOP tambahan bahkan saya rasa tiada masalah memandangkan kita melihat kes positif di Kelantan pun dalam keadaan terkawal,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -