MAIK tidak pernah lantik ejen kutip wang

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjelaskan pihaknya tidak pernah melantik ejen membabitkan mana-mana individu atau syarikat untuk mengutip wang daripada orang ramai.

Yang Dipertua (YDP) MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan tegas boleh diambil ke atas mereka yang cuba menyalahgunakan nama baik institusi terbabit.

- Advertisement -

“Ini juga termasuk membuat laporan polis terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu. MAIK tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat atau ejen untuk mengutip tabung kerana sebarang urusan berkaitan sumbangan boleh terus ke MAIK atau menerusi platform dalam talian.

“Jika didapati ada yang menggunakan nama MAIK untuk kegiatan mengutip derma, boleh diambil tindakan serta melaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial ada individu menyamar sebagai wakil MAIK untuk mengutip derma. – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -