Peranan perpustakaan tetap kekal relevan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pencarian maklumat secara konvensional masih releven biarpun kepesatan dan percambahan maklumat yang mencetuskan pelbagai idea baharu dalam merekabentuk gajet-gajet terkini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, begitu juga dengan perpustakaan kekal relevan walaupun pelbagai teknologi terkini tercipta seperti pembacaan melalui e-book dan sebagainya.

- Advertisement -

“Perpustakaan tetap boleh menggunapakai platform ini sebagai sebahagian daripada komponen maklumat dalam usaha untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan,” titah baginda merasmikan Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2022 di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis di sini semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis Azizi Janan.

Menurut baginda majlis berkenaan merupakan salah satu usaha dalam meningkatkan penguasaan membaca dalam kalangan masyarakat dan mendidik supaya orang ramai cintakan ilmu pengetahuan.

Sebagai rekod, pada tahun 2020, seramai 28,568 pengunjung hadir ke Pesta Buku dan Karnival Buku Perlis.

Tuanku Raja Muda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis atas usaha yang dilaksanakan sepanjang tahun dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua golongan masyarakat.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan meluangkan masa melawat gerai pameran dan aktiviti serta melawat ‘My Mobile Planetarium’ yang disediakan pihak penganjur. – HARAKAHDAILY 27/6/2022

- Advertisement -