Budak terdapat dadah dalam badan makin stabil

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Selepas empat hari bertarung nyawa selepas badannya didapati mengandungi dadah jenis methamphetamine, seorang budak lelaki hari ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, kanak-kanak terbabit kini tidak lagi menggunakan mesin bantuan penafasan.

Menurutnya kanak-kanak berusia empat tahun itu juga akan dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dalam masa terdekat setelah keadaannya stabil bagi memudahkan keluarganya untuk melawat.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, kita mendapat makluman dari hospital keadaan kanak-kanak terbabit. Dia mulai sedar dan telah menunjukkan perkembangan positif.

“Dia mampu bernafas secara normal setelah empat hari berada dalam keadaan kritikal,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu kanak-kanak berkenaan sebagai mewakili Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.

Sementara itu ibu budak malang terbabit Rohaya Hasan, 36, berkata, pada pagi tadi anaknya menunjukkan perkembangan baik di mana boleh menggerakkan anggota badan.

“Alhamdulillah, anak saya nampak makin ceria dan kakinya juga kelihatan bergerak. Tetapi saya belum dukung lagi sebab wayar di badannya masih banyak.

“Saya juga dimaklumkan anak saya akan dipindahkan ke Hospital Kuala Krai dan ini memudahkan lagi urusan penjagaan,” katanya.

Pada sidang media semalam polis tidak menolak kemungkinan budak itu mengambil dadah yang ditinggalkan dalam kereta oleh bapa sepupunya ketika membawa budak terbabit keluar dari rumah di Dabong. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -