Kerajaan elak isu kekurangan bekalan ayam berulang

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan akan memastikan tidak berhadapan lagi dengan masalah kekurangan bekalan ayam di pasaran seperti berlaku sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bekalan ayam sekarang kembali stabil bagi memenuhi permintaan di pasaran.

Katanya, usaha untuk mengembalikan pengeluaran ayam ke tahap maksimum giat dilaksanakan sejak dua bulan lalu.

- Advertisement -

“MAFI sentiasa memantau bekalan ayam dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan bekalan ayam ada sepanjang masa,” katanya selepas melawat Bismi Empire Sdn. Bhd (BISMI) di Simpang Empat Kangkong dekat sini semalam.

Kata beliau juga negara mempunyai kapasiti untuk mengeksport ayam sebelum ini, namun disebabkan beberapa faktor termasuk penyakit, peningkatan permintaan dan kekurangan buruh menyebabkan berlaku gangguan bekalan ayam di pasaran tempatan.

Menurutnya kerajaan sebelum ini mengambil langkah menghentikan sementara eksport termasuk produk ayam.

Namun kata beliau eksport untuk produk hiliran ayam, ayam hitam, ayam kampung dan ‘hale chicken’ dibenarkan semula tiga minggu lalu.

“Kita tengok bekalan dalam dua tiga minggu akan datang sekiranya benar-benar stabil, mungkin kerajaan akan kaji semula larangan eksport kerana ia merupakan tindakan sementara untuk memastikan bekalan negara stabil,” katanya.

Dr Ronald juga berkata, negara memerlukan 1.8 juta ayam sehari untuk memenuhi pasaran dan keperluan tempatan.

Menurut beliau sekiranya semua kilang dan penternak beroperasi kepada kapasiti maksimum pengeluaran ayam boleh melangkaui dua juta ekor sehari.

“Pengeluar juga memberi jaminan bekalan ayam mencukupi dan tidak lagi berhadapan gangguan seperti sebelumnya cuma mereka berharap masalah yang dihadapi penternak seperti kenaikan kos input, buruh dan penyakit ayam diberi perhatian kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -