RM2.4 bilion nilai jualan bazar Ramadan, Aidilfitri 2022

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.4 bilion dan mewujudkan 156,361 peluang pekerjaan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Penemuan itu adalah berdasarkan Laporan Kajian Khas Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 yang julung kali dijalankan DOSM bermula 3 April hingga 29 April lepas, meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

- Advertisement -

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata Selangor mendominasi nilai jualan bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan rekod jualan sebanyak RM0.6 bilion dengan bilangan pekerja seramai 31,563 orang.

Ia diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan nilai jualan RM0.4 bilion dengan bilangan pekerja 10,993 orang dan Johor RM0.3 bilion (22,423 pekerja).

Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.2 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM126.3 juta dan Hulu Langat, RM117.9 juta.

Bagi prestasi bazar Ramadan, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM527.4 juta, diikuti Kuala Lumpur sebanyak RM359.2 juta dan Johor RM257.4 juta.

Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM213.8 juta, diikuti  Johor Bahru dengan RM113.6 juta dan Hulu Langat RM110.6 juta.

Selangor mencatatkan bilangan pekerja bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 27,078 orang, diikuti Johor 20,326 orang dan Perak 11,126 orang.

 Bagi prestasi bazar Aidilfitri, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan nilai jualan dan bilangan pekerja bazar yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak RM115.8 juta dan 4,485 orang.

Di peringkat daerah pentadbiran, Melaka Tengah mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM61.8 juta, diikuti Klang RM59.4 juta dan Seberang Perai Utara RM23.5 juta. – BERNAMA

- Advertisement -