Raja Perlis bimbang amalan khurafat menjadi-jadi

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan umat Islam menjauhi amalan khurafat dan tahyul yang semakin menjadi-jadi sejak kebelangan ini.

Titah baginda ada yang percaya air keramat, Nabi hadir ke tempat mereka dan ada pula yang percaya roh berpindah dari satu jasad ke jasad yang baru.

“Ada yang minta pertolongan jin dan pelbagai lagi dakwaan karut yang lain.

“Dalam hal ini Perlis adalah benteng utama Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segala amalan tahayul, khurafat dan tokok tambah ajaran agama tanpa asas yang benar,” titah baginda ketika pada perasmian penutup Perkampungan Sunnah siri ke-7 semalam.

- Advertisement -

Program berkenaan berlangsung selama tiga hari dua malam bermula Jumaat.

Ramai tokoh agama terkenal hadir antaranya Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin yang turut membentang slot forum bertajuk Sunnah Membela Umat Tertindas.

Program berkenaan dihadiri lebih 20,000 peserta di mana kebanyakan mereka merupakan golongan muda.

Titah baginda lagi, budaya melabel segelintir kelompok dengan pelbagai gelaran adalah tidak wajar jika kelompok yang lain itu tidak bersetuju dengan pandangan mereka.

“Saya tahu, ada segelintir golongan yang suka melabel orang-orang yang menyeru untuk berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘wahabi’ dan lain-lain.

“Di sini saya ingin tegaskan bahawa negeri Perlis tidak berpegang langsung kepada ajaran ‘Wahabi’ kerana keutamaan di Perlis setiap perkara perlu berteraskan al-Quran dan Sunnah dengan melihat kepada huraian dan ijtihad para ulama yang muktabar,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Mufti Negeri Perlis khususnya Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana berjaya menganjurkan program tersebut dengan jayanya.

“Setelah dua tahun ia tidak dapat dilaksanakan akibat krisis pandemik yang melanda negara, Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu Wa Taala kita berada dalam fasa endemik dan mampu meneruskan kembali program yang ditunggu-tunggu saban tahun.

“Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta Jabatan-Jabatan lain di bawah Kerajaan Negeri yang turut memberi kerjasama dalam menjayakan program ini,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -