Bala yang disedari dan tidak disedari

- Advertisement -

PERNAH seorang pelajar bertanya kepada gurunya: “Mengapakah apabila kita banyak melakukan maksiat kepada Allah S.W.T, tetapi Allah tidak menimpakan balanya ke atas kita dengan segera?”

Gurunya menjawab: “Allah telah menimpakan balanya, tetapi engkau yang tidak menyedarinya. Bukankah Allah telah mencabut perasaan indah bermunajat dari hatimu. Tiada bala yang lagi berat daripada ditimpakan ke atas seseorang dengan penyakit hati yang keras. Sesungguhnya seberat-berat bala yang akan ditimpakan ke atasmu ialah Allah akan menyempitkan laluanmu ke arah jalan kebaikan.”

Bukankah telah berlalu ke atas dirimu tidak membaca al-Quran selama beberapa hari? Bahkan engkau mendengar firman-Nya yang berbunyi:

- Advertisement -

لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah.”

[al-Hasyr: 21]

Engkau mendengar ayat ini tetapi sedikit pun tidak memberi kesan dalam hatimu. Bahkan berlalu peluang-peluang kebaikan seperti Ramadan, enam Syawal, sepuluh Zulhijjah, sedangkan engkau tidak dipermudahkan untuk mengambil peluang-peluang kebaikan di dalamnya. Adakah bala yang lebih berat daripada ini?

Bukankah engkau merasa berat apabila mahu melakukan ketaatan dan lidahmu ditahan daripada mengingati-Nya? Bahkan engkau merasa lemah apabila berhadapan dengan bisikan hawa nafsu dan syahwat? Malah dipermudahkan bagimu untuk berkata dusta dan bercakap perkara-perkara yang sia-sia? Adakah bala yang lebih berat dan segera daripada ini?

Semua kehinaan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bentuk-bentuk bala yang Allah timpakan ke atas diri. Sesungguhnya bala yang ringan Allah timpakan ialah bala yang boleh disedari seperti ujian harta, anak pinak dan kesakitan. Namun, bala yang lebih berat ditimpakan ke atas kita adalah bala yang tidak disedari.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -