Duta Azerbaijan, delegasi Ummet Vakfi kunjungi Menteri Agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad melahirkan rasa gembira menerima kunjungan hormat daripada Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Duvadov, di pejabatnya petang semalam.

Menurutnya, perbincangan tertumpu ke arah memperkukuh kerjasama dalam pelbagai perkara khususnya hal ehwal agama Islam, berkaitan produk halal termasuklah soal pendidikan, dan perkongsian kemahiran antara satu sama lain.

“Beliau menyatakan rasa kagum kepada Kerajaan Malaysia dengan pengurusan dalam pensijilan dan produk halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.

- Advertisement -

Idris berharap semoga persahabatan yang terjalin antara negara membawa kepada manfaat buat penyatuan ummah dan Islam.

Beliau juga melahirkan rasa syukur dengan pertemuan yang sangat bermakna bersama delegasi dari Ummet Vakfi, sebuah Badan Masyarakat Madani (CSO) Islam yang berpangkalan di Istanbul, Turki.

Pertemuan diwakili oleh Pengurus Pemasaran Ummet Vakfi, Ahmad Saeed, wakil Ummet Vakfi di Malaysia, Dr. Abdul Rahim Shehab dan pensyarah UiTM Dr. Farez Al-Mabhouh dan delegasi yang lain.

Tambahnya, ukhuwah Islamiah adalah ikatan kejiwaan yang melahirkan perasaan mendalam dengan kelembutan, cinta dan sikap hormat kepada setiap orang yang sama-sama diikat dengan akidah Islam, iman dan takwa.

Katanya, antara intipati pertemuan itu adalah berkongsi pengalaman serta kejayaan dan pencapaian Yayasan Ummet dalam projek wakaf di Kota Al-Quds.

Beliau bermenambah, perbincangan berkenaan bagaimana untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama dalam membela isu Al-Quds melalui projek wakaf juga merupakan tujuan perjumpaan itu.

Menurutnya lagi, Ummet Vakfi aktif dalam pembangunan wakaf di Baitul Maqdis bagi membantu umat Islam Palestin dalam memperbaiki keadaan ekonomi serta pendidikan di sana, selain penjagaan kesihatan serta perlindungan terhadap warisan budaya Palestin.

“Semoga dengan hubungan dan kerjasama strategik yang terjalin ini dapat membantu saudara seIslam kita di bumi Al-Quds dan Palestin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/6/2022

- Advertisement -