Pengerusi perangkap perwakilan supaya berdiri

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

KITA
biasanya tengok apabila guru meminta anak murid berdiri, maka berdirilah mereka. Tiada murid yang membantah. Sekadar bangun. Ia juga sebagai tanda hormat.

Apakah apabila semua murid berdiri, ia menggambarkan pelajar terbabit bersetuju. Mungkin ya. Dan mungkin juga tidak. Bagi murid tadika dan sekolah rendah mereka akan spontan bangun.

Anak murid tidak boleh menderhaka guru. Kata orang tua-tua, nanti ilmu tidak berkat. Itulah yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Budaya luhur itu dipertahan sehingga sekarang.

Namun, ada ketikanya sekarang situasi agak berbeza. Sudah ada murid yang berani menderhaka. Apabila guru minta berdiri, tidak semua murid akur. Lebih-lebih lagi pelajar di peringkat menengah.

- Advertisement -

Itu cerita di bangku sekolah. Ia masih diingati sampai sekarang. Namun, Rabu lepas, bukan guru yang meminta anak murid berdiri sebagai menyokong hujahnya, sebaliknya presiden sebuah parti.

Ia berlaku ketika konvensyen Barisan Nasional (BN). Situasi itu berlaku apabila Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan meminta perwakilan bangun.

Pada ucapan sebagai Pengerusi BN Zahid meminta semua perwakilan yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat berdiri. Lalu perwakilan BN bangunlah. Mereka terdiri daripada pemimpin Umno, MCA dan MIC.

Tiba-tiba setelah sebahagian besar perwakilan bangun secara spontan, lalu Pengerusi BN sebut, ia sebagai bukti BN sudah sedia menghadapi PRU15. Ramai perwakilan terkejut. Ada yang terkejut besar dan kejut kecil.

Rupa-rupanya mereka diperangkap ketua sendiri. Bangun berdiri seperti murid sekolah sebagai isyarat menuntut PRU disegerakan. Zahid mengambil tugas guru memaksa perwakilan berdiri.

Eksiden yang berlaku itu sebenarnya bukan perkara pelik. Banyak konvensyen, mesyuarat atau muktamar, adegan itu dibuat untuk menarik sokongan. Namun, ia bukan melibatkan isu besar.

“Kalau perwakilan setuju sila bangun,” kata pembawa usul atau pembahas. Namun kebiasaannya apa yang berlaku hanya melibatkan isu kecil dan bukan dasar parti.

Namun, berbeza apa yang belaku pada konvensyen BN. Individu yang ‘memaksa’ perwakilan berdiri bukan dari saf perwakilan. Sebaliknya ia dari pentas utama.

Ketinggalan zaman

Isu itu dirakam semula Dr Wan Hashim Wan Teh, pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Ia dimuat dalam sebuah akhbar Jumaat lepas.  

Kata Dr Wan Hashim, meminta perwakilan bangun adalah taktik ketinggalan zaman. “Dalam majlis begitu, mereka pasti bangun sebagai mematuhi adab Melayu walaupun tidak bersetuju,” katanya.

Sebaliknya tulisan sarjana terbabit menjurus memuji tinggi Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hassan dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berbanding Zahid. Menurutnya kedua-dua pemimpin terbabit lebih realistik berbanding ucapan dasar pengerusi BN.

Telatah Presiden Umno rupaya tidak terhenti di situ. Lebih tercabar lagi apabila ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz mendesak pemimpin Umno yang beria-ia mahu PRU diadakan segera pergi mengadap Agong.

Nah, wibawa presiden Umno semakin tercabar. Katanya pemimpin Umno tidak sewajarnya menekan perdana menteri bagi memenuhi kehendak peribadi masing-masing.

Sebelum itu Ketua Bahagian Umno Ketereh Annuar Musa turut mengakui beliau tidak berdiri sebagai tanda sokongan semasa ucapan Zahid.

Baginya perkara itu merupakan isu biasa. Pada catatan di laman sosialnya beliau menganggap tindakan tersebut bukan satu bantahan terhadap perlu segerakan PRU15.

Ternyata tekanan yang hadapi Ismail Sabri begitu hebat. Ia mungkin berterusan sehingga wisel PRU15 ditiup.

Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM melihat perdana menteri kemungkinan akan akur kepada tekanan supaya PRU diadakan lebih awal.

Katanya Ismail berdepan dengan tekanan Zahid dan Najib Razak yang seakan memberi kata dua. Ismail dikekang oleh kesetiaan kepada parti dan kepentingan partisan.

“Bagi saya perdana menteri akan tunduk kepada tuntutan BN dan Umno kerana beliau bergantung kepada jentera gabungan itu untuk memastikannya dipilih semula pada PRU15,” kata Dr Ahmad Fauzi. – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -