Terengganu sedia pelbagai insentif kepada atlet negeri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sentiasa menyokong dan menyediakan pelbagai insentif kepada semua atlet negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif itu sama ada berbentuk wang tunai, peralatan latihan dan penghargaan tertentu kepada semua atlet negeri yang mencipta kejayaan dalam bidang sukan elit dan prestasi tinggi sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

Beliau menyatakan demikian bersempena pemasyhuran ketua kontinjen (CDM) Terengganu, Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA XX) MSN 2022, di sini hari ini.

- Advertisement -

Katanya, majlis itu juga sebagai menghargai segala usaha, sumbangan dan pengorbanan yang telah diberikan oleh anak negeri dalam sukan masing-masing menerusi Majlis Penyerahan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) Sukan SEA Ke-31, Vietnam 2022.

Sehubungan itu, beliau menguc apkan syabas dan tahniah kepada 57 orang atlet dan pegawai anak Terengganu yang telah terpilih mewakili negara ke Sukan SEA Ke-31 di Vietnam 2021 yang telah berlangsung baru-baru ini.

Mengenai SUKMA XX, beliau percaya para atlet negeri mampu pergi lebih jauh dan melakukan yang terbaik untuk membawa pulang piala kemenangan buat Terengganu.

Ahmad Samsuri juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang telah dilantik sebagai ketua kontinjen negeri untuk SUKMA 2022 nanti.

Beliau berharap semoga pelantikan Tun Ahmad Faisal sebagai chef de mission akan menyuntik lebih semangat atlet sekali gus mencapai misi 2022 Victory Mission.

“Insya-Allah, jika tiada aral saya juga akan memberikan komitmen untuk hadir menyaksikan para atlet daripada Terengganu beraksi dan memberikan semangat kepada semua,” ujarnya lagi.

Setelah sekian tertangguh akibat Covid-19, SUKMA ke-20 bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 16 hingga 24 September nanti. – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -