Kelantan peruntuk RM22.35 juta bina rumah dhuafat tahun ini

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM22.35 juta bagi membina rumah dhuafat tahun ini untuk membantu penduduk miskin memiliki kediaman sendiri.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peruntukan itu meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM10.76 juta.

Katanya pertambahan peruntukan tersebut dengan mengambil kira kenaikan kos bahan-bahan binaan, di mana rumah dhuafat sekarang bernilai RM55,000 seunit

- Advertisement -

“Sebanyak 272 rumah dhuafat akan dibina tahun ini membabitkan peruntukan RM22.35 juta, iaitu meningkat RM10.76 juta berbanding tahun lalu.

“Rumah dhuafat dilengkapi tiga bilik tidur dan proses dibuat melalui wakil rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya selepas merasmikan Kempen Pemilikan rumah Negeri Kelantan di Pasaraya Mydin Tunjong di sini hari ini.

Program tersebut dianjur Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Kata Menteri Besar rumah dhuafat dibina di lot milik penduduk sendiri.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mengurangkan bebanan kehidupan rakyat bagi membolehkan mereka yang berkelayakan memiliki rumah sendiri.

Menurutnya juga berdasar Laporan Pasaran Harta yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Pekhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, harga median rumah 2020 di Kelantan meningkat kepada RM230,000 berbanding RM198,000 pada 2018.

“Laporan akhbar The Edge 9 Mei lepas turut menyebut harga median rumah di Kelantan kini berada pada paras 6.37 kali ganda purata pendapatan rakyat negeri, iaitu antara tertinggi di Malaysia.

“Dengan ada inisiatif seperti dilaksanakan kerajaan negeri ia merupakan usaha yang baik untuk rakyat memiliki rumah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -