Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan ada pemimpin Barisan Nasional (BN) di Selangor menggunakan dokumen ‘sampah’ semata-mata untuk memfitnahkan PAS.
Katanya, apabila PAS menjawab balik apa yang mereka fitnah, pihak terbabit seperti melompat pula.
“Bila orang kepak balik kat dia, dia pulak melompat ghiau ghata-ghiti kata orang fitnah dia.
“Padahal dia memfitnah PAS menggunakan dokumen yang tiada kredibiliti sama sekali yang telah dinafikan PAS,” katanya pada kenyataan di media sosialnya semalam.
Baru-baru ini Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dilapor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi apabila mengaitkan namanya terbabit dengan dokumen ‘PASLeaks’.
Sebelum ini, Sanusi mendakwa dokumen tersebut dibuat pasukan laskar siber pihak tertentu yang bakal mendapat kepentingan berkaitan dakwaan perancangan menjatuhkan kepemimpinan Umno yang disebarkan secara terbuka.
Bagaimanapun laman berita hari ini melaporkan BN Selangor menamatkan khidmat Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor berkuat kuasa serta merta.
Sanusi juga berkata, isu terbabit sengaja diadakan untuk mengalih perhatian orang ramai kepada dirinya setelah dokumen PasLeaks diketahui umum hanya rekaan semata-mata.
“Inilah perangai huduh seperti pepatah Melayu ‘dia pukul orang dia yang menangis’. Dia alih perhatian konon saya fitnah dia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2022