PAS Selangor komited jayakan agenda penyatuan ummah

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
PAS Selangor komited dalam agenda penyatuan ummah terutamanya bersama parti-parti teras Melayu Islam, NGO dan parti bukan teras Melayu Islam tetapi yang tidak ekstrem.

Pesuruhjayanya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata agenda Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) kekal hingga ke hari ini walaupun MN tiada ikatan rasmi pendaftaran.

Menurutnya, PAS boleh sahaja meninggalkan Bersatu sekiranya parti berkenaan komited dalam khemah besar melibatkan DAP.

- Advertisement -

Beliau berkata, sesungguhnya di Selangor tidak ada kaedah lain menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kecuali secara satu lawan satu untuk menumbangkan Pakatan Harapan.

“Di sinilah perlunya parti-parti pembangkang di Selangor berlapang dada dalam membincang kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRU15 nanti.

“Calon yang berwibawa dan satu lawan satu menjadi fokus untuk menawan kembali negeri Selangor. Pimpinan semua parti tidak perlu angkuh, akhirnya memberi kemenangan kepada lawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kekuatan akar umbi dan jentera parti harus terus diperkasakan.

“Bagi PAS Selangor, perbincangan pertimbangan prinsip dan formula pembahagian kerusi dalam MN masih lagi terpakai bagi mengelakkan tiga penjuru.

“Apapun selagi tiada arahan atau keputusan terbaharu dari PAS Pusat itulah pendirian PAS Selangor yang tidak bercanggah pun dengan keputusan PAS Pusat sehingga kini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -