Harakah ‘hadiahkan’ saya Mindanao…

Penulis bersama jemaah Umat Islam seusai solat sunat Raya di Manila mendengar Khutbah Aidliadha di sebuah lorong berhampiran sebuah bangunan yang dijadikan masjid.
- Advertisement -

Oleh AZAMIN AMIN

- Advertisement -

DEBAR. Bimbang tatkala melihat kelibat dua lelaki siap menggalas senjata AK-47 menghidangkan air botol Coca-Cola kepada kami – saya bersama rombongan 13 orang. Ruang bawah tanah itu sunyi. Kami duduk di meja kayu yang disusun secara bentuk U, umpama bilik mesyuarat. Sekelilingnya dinding tanah keras. Di situ ada rosterum yang mempunyai logo lambang pertubuhan mereka tempat untuk berucap.

Tidak lama kemudian, muncul dua lelaki berusia sekitar 60an’ dengan diapit oleh pengawal peribadi lengkap bersenjata M-16 dan pistol. Salah seorangnya dikenali sebagai Naib Presiden Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Dia mengalu-alukan kedatangan kami ke tempat rahsia mereka. Sambil mengucapkan terima kasih kerana kami – rombongan dan saya yang hadir untuk misi bantuan kemanusian, melakukan Ibadah Korban di Mindanao, hasil sumbangan masyarakat Islam Malaysia untuk pelarian perang di sana. Sekitar lebih 600,000 orang pelarian, saya diberitahu.

Dia fasih berbahasa Inggeris, walaupun serius sesekali tersenyum. Wajahnya memang terkenal sering terpampang di media dalam dan antarabangsa, antara orang yang paling dikehendaki oleh pasukan keselamatan di sana.

Hampir sejam lebih kami bertukar-tukar pandangan dalam usaha membantu masyarakat Islam di sana. Mengejutkan, dia memberitahu kami, dia kenal dan mengagumi ketokohan Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tidak asing lagi di mata dunia.

Pertama kali penulis menyembelih lembu korban di Mindanao, Filipina

Selesai perjumpaan penuh sejarah dan bermakna, kami dibawa keluar daripada ruang bawah tanah dengan menaiki dua buah Jeep. Tujuan kami bertemu dengannya, adalah untuk meminta keizinan dan ‘restu’ daripada pihak MILF, untuk melakukan Ibadah Korban di tempat yang sedang berlangsung konflik perang.

Selain pihak berkuasa negara itu juga sedia maklum kehadiran kami, kami juga perlu memohon ‘kebenaran’ daripada pihak yang sedang bertempur, kerana laluan yang bakal kami tempuhi sangat berisiko tinggi dan mengancam nyawa!

Keesokan harinya ketika melalui jalan di Cagayan De Oro, melintasi perkampungan majoriti umat Islam di situ, kami yang menaiki van mendengar sayup dentuman bom.

Kelihatan penduduk sekitar berlari dan memenuhi kawasan sisi jalan, mereka keluar daripada rumah-rumah mereka. Lori-lori treler misi kemanusiaan antarabangsa juga terpaksa berpatah balik dan memecut laju sebaliknya kami, dengan berserah kepada Allah SWT, meneruskan perjalanan yang cukup bahaya. Perjalanan kami yang penuh debar, kami iringi dengan laungan kalimah takbir Hari Raya.

Alhamdulillah, misi kami berjaya. Kami sembelih kira-kira 15 ekor lembu dan saya sendiri pertama kali diberi peluang menyembelih lembu Korban di sebuah masjid di kampung berhampiran.

Daging korban mentah itu tidak diagihkan secara terus sebaliknya dimasak sebagai lauk masak berkuah (masakan penduduk sana) dengan nasi putih dan diberi makan kepada pelarian perang di situ. Kata salah seorang ketua kawasan pelarian yang teruja dengan sumbangan rombongan kami :”Kami di sini jumpa lauk daging lembu hanya setahun sekali dan inilah harinya…”

Ketika hendak bertolak pulang ke lapangan terbang Cebu, Filipina, ketua rombongan berbisik kepada saya, merayu saya memadamkan dan ‘melupuskan’ semua foto-foto yang saya ambil menggunakan kamera kecil sepanjang seminggu lebih di Mindanao dengan alasan ianya sangat sensitif dan cukup ‘berbahaya’.

Katanya, kita akan ‘bermasalah’ jika foto-foto ini dikesan oleh pihak berkuasa di sana. Saya menghormati pandangannya namun sebagai wartawan yang ditugaskan HARAKAH, apalah maknanya jika tiada sekeping foto pun dan berita istimewa daripada sana? Kisah perjuangan umat Islam apa yang nak disampaikan kepada pembaca, jika itu semua terhalang. Tekad, saya terpaksa membantah.

Saya ambil risiko dengan menyembunyikan memori kad gambar itu di tempat ‘rahsia’, ianya momen yang sungguh berharga dan syukur Allah permudahkan segalanya. Saya dan rombongan Yayasan Amal akhirnya selamat tiba ke tanah air tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dan lucunya, selepas itu masing-masing ahli rombongan hubungi saya mahukan foto-foto eksklusif yang saya ‘sembunyikan’- setelah saya sendiri selamat ‘berpeluh’ dan berdebar-debar menghadapi situasi getir itu.

Penulis bergambar bersama rombongan Misi Bantuan Yayasan Amal Malaysia dengan diapit oleh dua pejuang MILF yang bersenjata.

Setahun kemudian, saya terbaca laporan, di jalan yang saya serta rombongan pernah lalui untuk menyempurnakan misi bantuan itu, sekumpulan wartawan telah terbunuh akibat terkena berdas-das tembakan pihak yang bersenjata.

Demikianlah antara detik yang tidak mungkin terpadam daripada ingatan saya dan pengalaman istimewa ini, saya perolehi atas jasa HARAKAH ‘menerbangkan’ saya ke Mindanao. Pengalaman inilah antara yang termahal pernah HARAKAH ‘hadiahkan’ buat saya.

Meskipun asalnya berat hati meninggalkan isteri dan anak-anak, dan menyambut Aidiladha di negara orang, tugas yang diamanahkan, dipikul dengan cekal demi menyampaikan kisah perjuangan umat Islam kepada pembaca cukup setia.

Pembaca, yang ada antaranya setia menanti dan membeli naskah HARAKAH, bukan semata-mata untuk menatapnya tetapi sudi berkongsi serba sedikit rezeki buat kami di HARAKAH ini.

Kepada rakan seperjuangan, wartawan dan di sebalik tabir pembikinan HARAKAH serta kepada pembaca setia, saya rakamkan ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun HARAKAH. Alhamdulillah, HARAKAH menjengah 35 tahun sudah!

(Penulis adalah Penolong Pengarang Berita HARAKAH dan boleh dihubungi di WhatsApp 019-6479080) – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -