Jumlah dagangan Malaysia lebih RM2 trilion pada 2021

Pertumbuhan terpantas sejak 1994

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia pada 2021 merekodkan pencapaian baharu, melepasi RM2 trilion dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata nilai perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 24.8 peratus kepada RM2.2 trilion pada 2021 berbanding RM1.8 trilion pada 2020, selepas mencatatkan pertumbuhan negatif selama dua tahun berturut-turut.

Beliau berkata semua negeri mencatatkan peningkatan jumlah dagangan yang didominasi oleh Selangor (RM112.6 bilion), Pulau Pinang (RM94.4 bilion) dan Johor (RM87.4 bilion).

“Eksport Malaysia bernilai RM1.24 trilion pada 2021, meningkat 26 peratus berbanding RM983.8 bilion pada 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata eksport lebih tinggi direkodkan bagi semua negeri iaitu Selangor (RM62.8 bilion), Pulau Pinang (RM49.9 bilion), Johor (RM47.9 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion), Kedah (RM12.8 bilion), Kuala Lumpur (RM12.1 bilion), Perak (RM11.3 bilion) dan Sabah (RM10.4 bilion).

Turut mencatatkan eksport yang lebih tinggi adalah Pahang (RM10.3 bilion), Terengganu (RM8.5 bilion), Melaka (RM7.9 bilion), Negeri Sembilan (RM3.1 bilion), Labuan (RM1.0 bilion), Perlis (RM177.2 juta) dan Kelantan (RM97.1 juta).

Mohd Uzir berkata antara lima negeri pengeksport utama menyaksikan Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.3 peratus, diikuti Johor (20.6 peratus), Selangor (19 peratus), Sarawak (6.8 peratus) dan Kuala Lumpur (3.5 peratus). 

“Pengembangan eksport disokong oleh eksport litar elektronik bersepadu yang kukuh di Pulau Pinang.

“Selain itu, eksport yang tinggi dicatatkan di Johor, disumbangkan oleh produk petroleum bertapis, manakala sarung tangan getah merupakan penyumbang utama eksport di Selangor,” katanya.

Beliau berkata gas asli cecair pula merupakan penyumbang utama eksport di Sarawak.

Mohd Uzir berkata import turut mencatatkan peningkatan sebanyak 23.3 peratus kepada RM987.2 bilion pada 2021 berbanding RM800.5 bilion pada tahun sebelumnya dan peningkatan import dicatatkan di Selangor (RM49.8 bilion), Pulau Pinang (RM44.5 bilion) dan Johor (RM39.5 bilion).

Sementara itu, nilai import merosot di Sabah sebanyak RM8.7 bilion dan Labuan (RM908.4 juta), katanya.

“Import yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Kuala Lumpur yang disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik lain.“Di samping itu, litar elektronik bersepadu merupakan penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Beliau menambah, keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama import di Johor. – BERNAMA

Advertisement